Covid-19: Jangkitan di Sabah masih terkawal - Utusan Malaysia

Covid-19: Jangkitan di Sabah masih terkawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sabah masih dalam keadaan terkawal malah dapat menampung jumlah pesakit Covid-19 setiap hari.

Ini termasuk dalam aspek makanan, pusat rawatan dan beberapa fasiliti di hospital kerajaan serta pusat-pusat khas kuarantin.

Pegawai perubatan di Hospital Tawau yang dikenali sebagai Syafiq berkata, bandar ketiga terbesar di Sabah itu mempunyai tiga kawasan yang berperanan merawat Covid-19 iaitu di Hospital Tawau, Dewan Kompleks Sukan Tawau dan Kolej Jururawat Masyarakat Tawau.

Jelasnya, semua kawasan itu masih terkawal namun tidak menafikan jumlah pesakit semakin hari semakin bertambah.

“Pun begitu, kami tidak pastikan sampai bila kami akan bertahan untuk pesakit-pesakit ini ditambah pula dengan bekalan kelengkapan perlindungan diri (PPE) semakin berkurang.

“Dari segi bekalan makanan kepada petugas dan juga pesakit masih cukup malah ada pasukan khas yang mengendalikannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Katanya, kira-kira 100 hingga 150 terpaksa menjalani rawatan di kolej jururawat, 50 hingga 100 orang di hospital dan 10 hingga 12 orang di kompleks sukan.

“Mengendalikan krisis kesihatan ini sangat mencabar sebab kalau pakai PPE ini bukannya pakai dalam masa sekejap tetapi berjam-jam terutama cuaca sekarang sangat panas.

“Cuma kami harap rakyat memberi kerjasama sekiranya diarahkan berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Kita takut ada yang tercicir,” katanya.

Ketua Koordinasi Bilik Gerakan Pusat Kuarantin Semporna, Akri Jaya Ridwan, senada dengan kenyataan itu.

Katanya, Program Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria yang dijadikan pusat kuarantin khas di daerah itu masih dapat menampung sebilangan pesakit Covid-19.

Beliau turut berkata, lebih kurang 138 orang termasuk bayi dan warga emas menjalani kuarantin di kawasan perumahan serta menempatkan setiap tiga penghuni di setiap satu unit rumah.

“Keadaan di sini masih baik. Tentang bantuan makanan, barisan hadapan dan sebagainya juga tiada masalah dan berjalan dengan lancar,” katanya.

Di Kunak, Pegawai Daerahnya, Majaran Osman berkata, dua pusat rawatan bergejala rendah sudah disediakan dan tiada pesakit yang dihantar dan dirawat di Hospital Tawau kerana hanya sebilangan kecil sahaja kes jangkitan wabak di daerah itu.

“Pihak bertanggungjawab juga sedang menyalurkan bantuan bakul makanan oleh kerajaan negeri ke kawasan kampung yang terjejas,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya