Bekas pengurus FGV didakwa minta rasuah - Utusan Malaysia

Bekas pengurus FGV didakwa minta rasuah

Norazam Abdul Hameed didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM12,000 berhubung pelantikan sebuah syarikat untuk kerja pengauditan kilang kelapa sawit, tahun lalu.-UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang bekas Pengurus Besar Kanan FGV Holdings Berhad (FGV) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan meminta rasuah  RM12,000 melibatkan lantikan sebuah syarikat untuk kerja pengauditan kilang kelapa sawit, tahun lalu. 

 Norazam Abdul Hameed, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin. 

Mengikut pertuduhan, Norazam  meminta wang suapan daripada Mohd. Rizal Md. Kassim bagi mengesyorkan lantikan syarikat MRA Sustainable Solution sebagai auditor bagi pensijilan International Sustainable Carbon Certification (ISCC) milik FGV Palm Industries Sdn Bhd. untuk lapan buah kilang sawit. 

Kilang tersebut ialah Kilang Keratong 9, Kilang Palong Timur, Kilang Maokil, Kilang Bukit Sagu, Kilang Lepar Hilir, Kilang Serting Hilir, Kilang Lepar Utara 06 dan Kilang Serting milik FGV Palm Industries. 

Norazam  melakukan kesalahan tersebut pada pukul 4.15 petang  di Kilang Sawit Palong Timur, Karung Berkunci No 1, Pusat Bandar Palong  di  Gemas, 31 Januari 2019. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali. 

Peguam, Mohd. Hisyam Mad Nen memohon jumlah jaminan dikurangkan RM7,000 atas alasan anak guamnya kehilangan kerja sejak tahun lepas dan penanggung tunggal keluarga serta mempunyai tiga anak. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM. 

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 20 November depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya