Bekalan air ambil masa untuk pulih - Utusan Malaysia

Bekalan air ambil masa untuk pulih

LOJI Rawatan Air di Sungai Semenyih, Selangor yang dihentikan tugas hari ini ekoran pencemaran bau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih sejuta pengguna perlu menunggu beberapa hari lagi sebelum mendapat bekalan air susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih dijangka mengambil masa untuk pulih.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Suhaimi Kamaralzaman berkata, sehingga semalam Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi belum beroperasi selepas dihenti tugas 20 jam.

Menurut beliau, henti tugas itu menyebabkan Air Selangor tidak dapat menghasilkan air terawat berjumlah 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna.

Katanya, sehingga pukul 12.30 tengah hari semalam, pencemaran masih berlaku di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan dan berada pada tahap 18 ton, manakala bacaan di muka sauk LRA Sungai Semenyih 9 ton.

“Punca pencemaran belum diketahui dan siasatan masih dilakukan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Suhaimi berkata, sejak pukul 8 pagi semalam, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. (Air Selangor) menggerakkan 64 lori tangki ke premis-premis kritikal, sekolah-sekolah serta kawasan perumahan yang terjejas.

Katanya, sebanyak 14 tangki statik, tujuh stesen pengisian setempat, sembilan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dan 10 pili awam turut disediakan.

“Air Selangor menyarankan pengguna mengambil bekalan air di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori tangki diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” kata beliau.

Malam kelmarin kira-kira sejuta pengguna di 274 kawasan di Selangor mengalami gangguan air ekoran pencemaran didakwa berlaku di Sungai Batang Benar dan Sungai Pajam di Negeri Sembilan.

Kawasan yang terjejas membabitkan Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Sehubungan itu, Suhaimi berkata, Air Selangor akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi termasuk media sosial dan laman sesawang di www.airselangor.com. .

Bulan lalu, akibat pencemaran Sungai Gong di Rawang, kira-kira 1.2 juta pengguna di 1,292 kawasan di Lembah Klang terputus bekalan air.

Masalah tersebut berlarutan kira-kira seminggu dan kejadian iru menimbulkan tidak puas hati dalam kalangan pengguna. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya