KUALA LUMPUR: Semua ahli Parlimen dari Sabah perlu tiba di Kuala Lumpur selewat-lewatnya 17 Oktober ini bagi membolehkan mereka menghadiri sidang Dewan Rakyat yang bermula 2 November ini.
Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata, ia bagi membolehkan kesemua mereka menjalani kuarantin selama 14 hari seperti mana diputuskan kerajaan pada 9 Oktober lalu.
Katanya, semua ahli Parlimen perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan diberikan Surat Perintah Pengawasan dan Pemantauan di rumah (HSO).
“HSO ini berkuat kuasa mulai dari tarikh tiba di KLIA sehingga 14 hari kemudian. Yang berhormat (YB) boleh menjalani kuarantin di kediaman sendiri atau di hotel penginapan yang ditentukan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negera (NADMA).
“Pada hari ke-13, YB dikehendaki menjalani ujian RTK Ab di mana-mana fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta dan menyimpan sesalinan keputusan ujian tersebut,” katanya menerusi surat bertarikh 9 Oktober 2020 yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berkata, semua ahli Dewan Rakyat tidak harus mengabaikan tanggungjawab mereka dengan ketidakhadiran, semata-mata kerana prosedur operasi standard (SOP) yang nampak menyusahkan kehidupan harian.
“Sidang Parlimen yang akan datang ini amat penting untuk negara, kerana ia sidang yang berbahas tentang Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Selaku ahli Parlimen yang bertanggungjawab, saya akan mematuhi SOP yang ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya. – UTUSAN ONLINE