26 ladang babi dikesan buang sisa kumbahan secara terus ke dalam sungai - Utusan Malaysia

26 ladang babi dikesan buang sisa kumbahan secara terus ke dalam sungai

NORLELA ARIFFIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak 26 ladang babi di Kampung Selamat, Tasek Gelugor dekat sini dikesan membuang sisa kumbahan secara terus ke dalam Sungai Kreh.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBPS) sudah merujuk pemilik ladang babi itu ke mahkamah sementara menunggu Enakmen serta Peraturan Penternakan Babi Negeri Pulau Pinang 2020 dikuatkuasakan tahun depan.

Beliau berkata, menerusi enakmen itu, tindakan perobohan ladang-ladang penternakan babi yang tidak mengikuti syarat termasuk membuang sisa ke dalam sungai boleh diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, sementara menunggu penguatkuasaan enakmen berkenaan, pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi mengambil beberapa langkah menyelesaikan masalah pencemaran sungai disebabkan pelepasan kumbahan dari ladang babi terbabit.

“Antaranya adalah bekerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan memasang perangkap di kawasan parit supaya sisa kumbahan ladang babi tidak terus masuk ke dalam sungai.

“Selain itu, kita bekerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk melupuskan sisa pepejal babi termasuk menukarnya bagi industri biogas,” katanya ketika menggulung Bajet 2021 Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini semalam.

Menurut Norlela, menerusi enakmen itu juga, semua pemilik ladang babi perlu menaik taraf ladang mereka kepada ladang tertutup selain memastikan mempunyai keluasan mencukupi untuk membina kolam kumbahan supaya sisa tidak terus dibuang ke dalam sungai.

Setakat ini, ujarnya, hanya dua ladang ternakan babi dinaik taraf menjadi ladang tertutup manakala 112 ladang lain sudah memohon lesen dengan Jabatan Veterinar.

“Dalam perbincangan dengan Persatuan Ternakan Babi Pulau Pinang, mereka bersetuju menutup mana-mana ladang babi yang pemiliknya tidak mahu menaik taraf ladang masing-masing.

“Ini kerana jualan babi dari Pulau Pinang mencecah nilai RM125 juta, maka pengusahanya perlu membuat pelaburan untuk menaik taraf ladang ternakan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN