Suri rumah rugi RM15,000 ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Suri rumah rugi RM15,000 ditipu Macau Scam

NOORZAINY MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seorang suri rumah di sini berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM15,000 lesap akibat ditipu sindiket Macau Scam, Sabtu lalu.

Mangsa berusia 60-an itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil daripada pejabat pos yang memaklumkan kononnya terdapat bungkusan mengandungi lapan keping kad kredit yang diposkan atas namanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa kemudian dirujuk kepada individu yang mendakwa pegawai penyiasat polis berpangkat koperal di Seremban, Negeri Sembilan.

Ujarnya, ‘koperal’ berkenaan memaklumkan mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan dadah manakala salah seorang suspek lain dikatakan telah ditahan.

“Mangsa juga diberitahu kes itu dalam siasatan dan meminta tidak memaklumkan kepada sesiapa serta memberi kerjasama memandangkan dia adalah suspek utama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa yang terkejut dan terlalu takut dengan dakwaan itu tanpa berfikir panjang mengikut arahan ‘koperal’ berkenaan dengan memasukkan wang berjumlah RM15,000 ke dalam akaun diberikan.

“Mangsa membuat tiga transaksi ke dalam satu akaun yang dia percaya bagi tujuan siasatan.

“Dia juga dimaklumkan wang itu akan dipindahkan kepada Jabatan Audit Negara bagi proses siasatan,” katanya.

Menurutnya, wanita itu bagaimanapun menyedari diperangkap oleh sindiket sebelum membuat laporan polis di sini semalam.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.