Selangor rekod 8 positif Covid-19 Kluster Jalan Apas - Utusan Malaysia

Selangor rekod 8 positif Covid-19 Kluster Jalan Apas

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu lagi kluster baharu Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan iaitu Kluster Jalan Apas di Selangor.

Kes indeks kluster itu ialah kes ke-10,782 dan kes ke-10,783 membabitkan pasangan suami isteri rakyat tempatan yang ada sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah pada 13 hingga 16 September.

Pasangan tersebut mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 September sebelum mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada keesokan harinya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pasangan itu kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September dan didapati positif Covid-19 pada 26 September sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Hasil saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif Covid-19 pada 27 September dan sehingga kini, seramai 66 individu disaring.

“Daripada jumlah itu, lapan kes dikesan positif Covid-19 (6 kes baharu); 56 individu negatif manakala dua lagi individu masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan dijalankan di lokasi-lokasi yang terbabit. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” kata beliau dalam laporan harian Covid-19 di sini semalam.

Beliau berkata, kes positif Covid-19 mencatatkan sedikit penurunan semalam apabila 115 kes baharu dilaporkan berbanding 150 kes kelmarin.

Bagaimanapun, menurut beliau, perkembangan terkini itu masih merekodkan tiga angka dengan 112 merupakan kes tempatan manakala tiga lagi kes import yang mendapat jangkitan di India.

Noor Hisham berkata, kes penularan dalam negara melibatkan 98 kes rakyat tempatan dan 14 kes adalah bukan warganegara.

“Sabah mencatatkan penularan paling tinggi dengan 98 kes melibatkan Kluster Bangau-Bangau (46); Kluster Benteng Lahad Datu (39); saringan bergejala (8); Kluster Pulau (2); Kluster Buang Sayang (1); dan masing-masing satu kes bagi saringan petugas kesihatan serta saringan kontak rapat kes ke-11,022.

“Di Selangor berlaku 10 kes baharu, enam daripadanya daripada Kluster Jalan Apas dan empat kes saringan pulang dari Sabah. Kedah, Melaka, Terengganu dan Labuan masing-masing merekodkan satu kes baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya