KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri berhasrat menempatkan sebahagian pengayuh beca di bandar raya ini untuk beroperasi di lokasi baharu iaitu di Taman Taman Islam (TTI) di Losong di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, kedudukan TTI yang berdekatan dengan destinasi pelancongan popular termasuk Kampung Budaya dan Muzium Negeri dijangka dapat merancakkan lagi perkhidmatan pengangkutan itu sekali gus membuka peluang buat pengayuh beca menambah pendapatan masing-masing.
Katanya, pada masa ini, operasi golongan itu tertumpu di Pasar Payang 2, yang merupakan lokasi tradisi bagi kebanyakan pengayuh beca sejak puluhan tahun.
“Laluan sedia ada bagi pengayuh beca membabitkan hotel-hotel yang terletak berhampiran dengan Pasar Payang 2 di samping ke TTI.
“Bagaimanapun, kita ada usaha untuk menempatkan pengayuh beca di TTI sahaja bagi memudahkan mereka berlegar-legar mengambil pelanggan di sekitar lokasi itu sahaja kerana terdapat pelbagai tarikan termasuk Kampung Budaya dan Muzium Negara,” katanya selepas menyerahkan pakaian kepada pengayuh beca di Pasar Payang 2 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Ahmad Zulfa Shafie.
Ariffin berkata, ketika ini terdapat kira-kira 20 pengayuh beca aktif di Kuala Terengganu ini dengan kebanyakannya merupakan warga emas daripada keseluruhan 40 orang yang berdaftar.
Dalam perkembangan sama, beliau memberi jaminan kerajaan negeri akan terus menaik taraf perkhidmatan beca bagi memastikan pengangkutan itu terus menjadi tarikan di pelancong ke negeri ini.
Katanya, ia termasuk menggalakkan penglibatan orang muda dalam kerjaya itu di samping beberapa perancangan lain. – UTUSAN










