SDP wujud 160,000 pekerjaan - Utusan Malaysia

SDP wujud 160,000 pekerjaan

MUHYIDDIN Yassin (baris depan, tiga dari kanan) mendengar taklimat cadangan pembangunan semula jeti Kompleks Terminal Jeti Penumpang dan Jeti Kargo di Pulau Pangkor, semalam. Beliau berada di pulau itu sempena mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pelan Pembangunan Strategik (SDP 2021-2025) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dijangka mewujudkan lebih 160,000 peluang pekerjaan baharu di empat negeri terlibat dengan wilayah ekonomi itu.

Dalam masa sama, diunjurkan lebih 42,000 usahawan dapat diwujudkan manakala pelaburan terkumpul dijangka berkembang kepada RM146.5 bilion dalam tempoh ber­kenaan.

Pihak Berkuasa Pelaksa­naan Koridor Utara (NCIA) dalam kenyataannya di sini semalam menyatakan, SDP menjangkakan purata pendapatan isi rumah dan pendapatan isi rumah B40 di NCER, masing-masing dijangka mencecah RM10,500 dan RM4,200.

SDP dibentangkan dalam Mes­yuarat NCIA ke-23 dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pulau Pangkor, semalam.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

NCER merangkumi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis.

Menurut NCIA, SDP menjangkakan NCER akan menjadi ekonomi bernilai RM300 bilion menjelang tahun 2025.

Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19, sasaran ber­kenaan dianjak selama dua tahun lagi.

“NCIA telah pun mencapai pelaburan direalisasi terkumpul berjumlah RM115.9 bilion sehingga Julai 2020, dan mewujudkan 140,000 peluang pekerjaan di NCER.

“Projek strategik, pelaburan berimpak tinggi dan program modal insan telah direka untuk menyelesaikan keperluan semasa rakyat dan perniagaan serta industri bagi mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN