Pulau Pinang catat pendapatan per kapita tertinggi di Koridor Utara

Pulau Pinang catat pendapatan per kapita tertinggi di Koridor Utara

CHOW Kon Yeow (tengah) ketika menghadiri Mesyuarat NCIA di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.-GAMBAR/FACEBOOK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang terus membuktikan kedudukannya sebagai negeri peneraju ekonomi di wilayah utara apabila mencatatkan pendapatan per kapita tertinggi di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi tempoh 2024.

Menurut perangkaan yang dibentangkan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Pulau Pinang merekodkan jumlah pendapatan per kapita sebanyak RM76,033 dan menjadi satu-satunya negeri di bawah NCER yang melepasi purata nasional tahun 2024 iaitu RM56,734.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian itu mencerminkan kekuatan ekonomi Pulau Pinang yang berasaskan industri berteknologi tinggi, pelaburan berkualiti serta pembangunan sumber manusia yang berdaya saing.

“Pulau Pinang komited dan akan terus muncul sebagai sebuah negeri yang mampu menjana sumber pendapatan kepada negara.

“Ia bukan hanya pada aspek perindustrian, tetapi juga dalam bidang kepakaran serta pembangunan modal insan,” katanya selepas menghadiri mesyuarat tersebut yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sentiasa menghargai kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkukuh.

“Kita berharap agar jalinan hubungan baik antara Pulau Pinang dan Kerajaan Persekutuan ini akan terus diperkasakan, khususnya dalam usaha memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat negeri ini,” ujarnya.

Selain Pulau Pinang, NCER turut merangkumi Kedah, Perlis dan Perak (utara) yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan seimbang di rantau utara Semenanjung Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 2007.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN