Sayuran di Taman Pengeluaran Makanan Kekal licin dijual - Utusan Malaysia

Sayuran di Taman Pengeluaran Makanan Kekal licin dijual

Pelanggan memilih sayur-sayuran dijual di Taman Pengeluaran Makanan Kekal di Kuala Selangor pada 12 September 2020.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Bagi membantu rakyat mendapat harga sayuran murah, Taman Pengeluaran Makanan Kekal di sini kembali menemui pelanggan dengan menawarkan pelbagai sayuran dengan harga serendah RM1.

Promosi Jualan Murah Bulan Merdeka di tapak tersebut membabitkan kacang panjang, sawi, kangkung, rebung, cili api, limau kasturi dan peria yang dijual RM1 sama ada seikat atau sebungkus.

Seorang peserta Mohd. Ariff Iskandar Mohd. Fadzil, 37, berkata, jualan murah tersebut bukan sahaja untuk membantu masyarakat mendapatkan sayur-sayuran murah tetapi juga segar dari ladang.

“Ramai yang ingat Taman Pengeluaran Makanan Kekal ini sudah tutup. Jadi  usaha kita hari ini (semalam) juga untuk menghebahkan kepada umum bahawa kita masih lagi menjalankan aktiviti pertanian.

“Kita bukan sahaja menjual sayur-sayuran  tetapi terdapat juga beberapa jenis ikan air tawar dengan harga juga murah. Antaranya ikan talapia RM5 sekilogram (kg), patin (RM7/kg), keli (RM5/kg) dan baung (RM20/kg).

“Alhamdulillah, kurang empat jam, kita  menjual kira-kira 150kg hasil pertanian kepada masyarakat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi peserta, Siti Habibah Hamzah,37, berkata, jualan murah tersebut antara inisiatif peserta  untuk menambah pendapatan peniaga.

“Apabila dimaklumkan perkara ini, saya bersetuju kerana dapat membantu masyarakat mendapat produk makanan segar walaupun kemudahan menganjurkan aktiviti jualan tidak sempurna.

“Selain harga ditawarkan murah, masyarakat setempat hadir membeli produk pertanian kerana jarak hendak ke pekan agak jauh,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Mariati Hashan,58, berkata, dia sanggup menunggang motosikal 10 minit semata-mata hendak melihat pelbagai produk tanaman dijual di situ.

“Saya mengetahui terdapat jualan murah ini menerusi WhatsApp dan meminta anak menemani saya. 

“Saya berpuas hati dengan jualan murah ini kerana bukan sahaja harga yang ditawarkan amat menjimatkan tetapi semuanya segar,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya