KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) penting untuk orang Melayu memenanginya supaya kekal menjadi pentadbir selepas dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam hal ini, perpaduan menjadi asas paling utama dalam mengembalikan survival politik daripada jatuh sekali lagi ke tangan Pakatan Harapan (PH).
“Pilihan raya kali ini amat penting untuk orang Melayu. Ia dapat memberi peluang kepada masyarakat Melayu bangkit semula selepas kalah pada PRU-14.
“Pilihan raya umum kali ini kita mesti nak menang, bukan kira macam nak pergi melihat (program realiti) Akademi Fantasia. Kita hadapi PRU-15 ini untuk tentukan kuasa pentadbiran negara di tangan kita, orang Melayu. Ia bukan suatu perkara yang mudah.
“Tetapi UMNO perlu bersedia jika Perdana Menteri umum untuk mengadakan PRU lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mana PRU-15 akan diadakan awal sekiranya keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Mohamad berkata, terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukan masa terbaik mengadakan pilihan raya dengan mengambil kira semua aspek yang memberi kelebihan kepada parti orang Melayu itu sendiri.
“Terpulang kepada Perdana Menteri petunjuk mana yang sesuai untuk beliau sama ada ingin percepatkan pilihan raya umum atau tidak. Apa yang menjadi asas kepada beliau untuk membuat keputusan dalam mengadakan pilihan raya umum.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan semasa dan kita tidak boleh nak kata kalau menang PRN Sabah ini kita kena cepatkan, kalau tak menang tak ada pilihan raya umum.
“Perlu faham bahawa dinamik politik sentiasa berubah. Dulu dinamik politik lambat berubah, tapi sekarang semakin cepat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, asas perpaduan yang dipegang masyarakat Melayu hari ini membuahkan hasil apabila beberapa kali pilihan raya kecil (PRK) bermula di Cameron Highlands membawa kemenangan dan diterima Melayu secara positif. – UTUSAN ONLINE










