KUALA LUMPUR: Syarat ketat termasuk kuarantin sekurang-kurang tiga hari sebelum berlepas dan sebaik sahaja tiba di tanah cuci antara prosedur yang dijangka dikenakan kepada mana-mana jemaah umrah.
Prosedur baharu Arab Saudi itu bukan sahaja dilihat membebankan jemaah tetapi syarikat pengendali umrah yang kini berdepan masalah kewangan selepas dunia dilanda pandemik Covid-19.
Situasi bertambah buruk apabila masih tiada ketetapan kadar levi daripada Arab Saudi.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, buat masa ini pihaknya masih mengadakan perbincangan membabitkan Arab Saudi dan syarikat umrah di negara ini.
“Setakat ini kami beri bayangan awal tahun depan baru boleh menunaikankan umrah, tetapi dengan prosedur baharu antaranya kuarantin tiga hari di negara sendiri dan tiga hari di tanah suci.
“Apa yang jadi masalah, kami tidak tahu siapa yang akan menanggung kos tersebut. Malah kadar levi juga tidak tahu sehingga kini. Jika dilihat situasi ini, berapakah kenaikan kos yang perlu dikenakan kepada jemaah?,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Arab Saudi sebelum ini dikatakan akan membenarkan umat Islam melaksanakan ibadah umrah secara berperingkat.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Arab Saudi termasuk jumlah jemaah yang dibenarkan ke tanah suci.
“Arab Saudi akan hadkan jumlah yang boleh menunaikan umrah. Setakat ini ada 22 negara yang dibenarkan termasuk Malaysia. Cuma jumlah masih belum diketahui.
“Jika tiada apa-apa masalah, dijangka bulan Januari akan dibenarkan (umrah),” katanya. – UTUSAN ONLINE










