Polis Johor, Pahang mohon PBT batalkan lesen kelab malam - Utusan Malaysia

Polis Johor, Pahang mohon PBT batalkan lesen kelab malam

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor mengambil langkah agresif terhadap premis hiburan yang masih berdegil dengan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengemukakan permohonan pembatalan lesen kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sehingga kini, sebanyak 12 permohonan telah dibuat pihaknya kepada PBT di negara untuk tujuan pembatalan lesen itu dengan dua permohonan telah diluluskan.

“Kita sentiasa komited dan tegas dalam melakukan serbuan dan tangkapan terhadap premis hiburan yang gagal dan tidak mematuhi arahan seperti mana yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan PBT.

“Malah tindakan kompaun akan dikenakan terhadap pemilik dan orang ramai yang tetap mengunjungi premis hiburan sepanjang tempoh PKPP,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, Ayob Khan memaklumkan, tiada pusat hiburan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPP melainkan pusat karaoke yang berlesen.

Ayob menambah, meskipun pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) giat masih menjalankan operasi bagi menyerbu premis hiburan, namun terdapat lagi yang masih ingkar dengan melihatkan jumlah serbuan yang terus meningkat.

Katanya, sebanyak 1,237 tangkapan telah dilakukan Polis Johor menerusi 73 serbuan terhadap premis hiburan di seluruh negeri ini.

Di KUANTAN, polis Pahang meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini membatalkan lesen bagi mana-mana premis hiburan yang didapati melanggar PKPP ketika ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, pihaknya juga menyarankan supaya premis hiburan yang tidak mempunyai lesen disita.

“Di Pahang tiada isu besar tentang pelanggaran PKPP oleh pengusaha pusat hiburan tetapi kita tetap ambil serius isu ini,” katanya semalam.

“Sehingga kini, 109 kelab malam telah ditutup dan tujuh masih beroperasi. Berdasarkan tindakan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Pahang, empat kelab malam tiada lesen dan tiga kelab malam melanggar syarat,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, seramai 28 pengunjung kelab malam di negeri ini ditahan polis dalam tempoh PKP bermula 18 Mac sehingga 9 Jun lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN