'Pilih dan bayar' inisiatif Kobuniti petik sendiri sayur - Utusan Malaysia

‘Pilih dan bayar’ inisiatif Kobuniti petik sendiri sayur

MEMETIK sendiri sayur bendi memberi pengalaman yang mengujakan kepada pelanggan yang biasanya tinggal di kawasan perumahan 'huran batu'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tugas memilih sayur-sayuran terbaik di pasar basah mahupun pasar tani biasanya diletakkan di bahu kaum hawa. Kadangkala proses memilih sayur di pasar basah mengambil masa juga, walaupun sayur yang dijual tampak segar dari ladang.

Namun begitu jika kita ingin membeli terus dari kebun sayur, ‘kesegaran’ yang didambakan sudah pasti akan ditemui.

Jika ada yang berhajat memetik sayur dengan tangan sendiri, kini perkhidmatan sedemikian disediakan oleh Koperasi Kobuniti Selangor (Kobuniti) di Desa Alam berhampiran Persiaran Serai Wangi, Seksyen U12, Shah Alam, Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kobuniti, Mohamad Nizar Omar, konsep ‘Pilih dan Bayar’ mungkin pernah diwujudkan namun apa yang pihaknya sasarkan adalah bagi memberi peluang kepada masyarakat bandar ‘merasa’ sayur-sayuran segar dengan harga berpatutan.

“Pada asalnya kita mewujudkan kebun sayur-sayuran ini untuk membantu golongan B40 untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka.

“Namun timbul idea untuk golongan ini kita bantu dengan memberi mereka peluang pekerjaan menanam sayur dan mengusahakan bisnes mereka sendiri kelak sebagai usahawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

 

MOHAMAD NIZAR OMAR

Mohamad Nizar berkata, golongan B40 yang dipilih turut diajar secara teknikal bagaimana menanam dan membaja sayur-sayuran dengan baja organik.

Katanya, sayur-sayuran tersebut kesemuanya menggunakan baja organik yang diproses oleh penasihat teknikal Kobuniti, Waiz Kashifi.

“Selepas ini di tapak Kobuniti ini akan turut diadakan jualan ikan tilapia, gerai makan, gerai-gerai hasil pertanian dan lain-lain lagi bagi memudahkan orang ramai berurusan di sini,” katanya.

Sementara itu, Waiz berkata, selain sayur seperti sawi, kangkung, kacang bendi dan lain-lain, Kobuniti tersebut turut ditanam buah rock melon yang sedang membesar.

Katanya, sebagai penasihat teknikal beliau akan memastikan kos penanaman dapat diminimumkan bagi memastikan harga sayur-sayuran yang dijual lebih rendah daripada harga di pasar basah atau di pasaraya.

“Konsep kita, sayur yang dijual menggunakan baja organik dan bukan baja kimia. Ia selaras tagline Kobuniti, Organik, Semulajadi dan Segar.

“Tanah yang kita gunakan untuk menanam adalah tanah yang terbaik bagi memastikan hasil yang dituai memberi impak yang terbaik dari sudut kesihatan,” katanya.

 

WAIZ Kashfi memeriksa rock melon yang ditanam secara bio organik di Kobuniti, Shah Alam, Selangor.

Seorang suri rumah dari Seksyen 13, Noor’Ain Mohd. Annoer mengaku teruja untuk datang ke Kobuniti setelah diberitahu rakannya tentang kewujudan kebun yang membenarkan orang ramai memetik sendiri sayur yang dihajati.

Katanya, sebagai peminat sayur organik, Kobuniti adalah pilihan tepat suri rumah untuk mendapat sayur yang tidak kena baja kimia.

“Seronok juga memetik sayur segar seperti sawi yang segar menghijau. Buah rock melon pun ada di sini, cuma saya dengar ia masih belum boleh dituai.

“Saya harap tempat ini akan terus sukses dan orang ramai boleh memetik sayur bersama keluarga mereka sebagai satu rekreasi keluarga,” katanya.

Seorang lagi suri rumah dari Shah Alam, Allenziana Syuhada Hanim Rahim berkata, program ‘Pilih dan Bayar’ memberi peluang kepadanya memilih sayur terbaik untuk hidangan keluarga.

“Sayur-sayuran di sini segar menghijau dan sedia untuk dipetik. Ini adalah pengalaman baru untuk saya, insya-Allah saya akan selalu ke sini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN