Peneroka kecewa, mahu urus sendiri ladang - Utusan Malaysia

Peneroka kecewa, mahu urus sendiri ladang

Felda perlu kekal identiti JKKR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Walaupun Felda memohon maaf atas kesilapan mengenai bayaran hasil sawit dan getah namun golongan peneroka tetap kecewa sehingga ada yang becadang mahu mengambil alih urusan ladang daripada tanah rancangan tersebut.

Peneroka berpendapat, kesilapan seperti menindas itu sepatutnya disedari Felda bukannya sehingga mereka merugut.

Ketua Peneroka Felda Lepar Hilir 3, Rosli Samad, 57, berkata, jika tiada rungutan peneroka berhubung isu itu, apakah Felda akan memberi perhatian dan mengakui kesilapan mereka.

“Sekiranya peneroka senyap dan tidak bising tentang perkara berkenaan, adakah pihak Felda pun akan buat senyap?

“Jangan ambil kesempatan ke atas peneroka. Sepatutnya buat penjelasan sebelum sesuatu di luar kebiasaannya berlaku,” luah Rosli kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini Mingguan Malaysia mendedahkan rintihan sebilangan peneroka Felda yang mendakwa pendapatan mereka hasil jual sawit atau getah adakala berbaki RM50 selepas dipotong.

Pengurusan Felda pernah berjanaji tidak akan memotong bagi hasil jualan kurang daripada RM1,000 namun apa yang berlaku sebaliknya.

Susulan pendedahan tersebut, kelmarin Felda tampil memohon maaf dan mendakwa kejadian itu berlaku kerana masalah teknikal pada potongan kos operasi.

Kesilapan berlaku berikutan proses mengautomasikan pemindahan data daripada Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTPSB) sejak sistem pembayaran hasil disatukan dan dilaksanakan sepenuhnya oleh Felda sejak April lalu.

Sementara itu, Pengerusi Biro Ladang Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lepar Hilir 3, Safari Abd. Rahim, 54, berkata, terdapat 336 peneroka di situ dan separuh daripada mereka menguruskan sendiri ladang kelapa sawit mereka.

“Bila urus sendiri peneroka tetap bersama Felda tetapi dari segi kos operasi, semua diuruskan dan dibayar sendiri oleh peneroka temasuk tuai buah, meracun dan lain-lain kerja ladang.

“Jadi dengan apa yang berlaku ini, ramai peneroka berasakan lebih baik mereka urus sendiri ladang,” ujarnya.

Peneroka Felda Chini 1, Abdul Ghafar Abdul Hamid, 67, menyambut baik ‘jiwa besar’ Felda kerana mengakui kesilapan selepas peneroka bersuara.

“Diharapkan kesilapan sedemikian tidak berulang. Apa yang penting adalah peneroka dimaklumkan terlebih dahulu, bukan kita merungut, adu kepada media baru Felda mahu bertindak dan tampil menjelaskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya