ALOR SETAR: Seramai 300 peniaga di Kompleks Pekan Rabu di sini terjejas pendapatan kerana tidak dapat berniaga berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) Kota Setar sejak 11 September lepas.
Pusat peniagaan ikonik Kedah itu yang terletak di tengah-tengah bandar raya ini kini ditutup.
Pemilik perniagaan kraf tangan Mat Kelantan, Rohana Mohamed, 43, berkata, dia kerugian sehingga RM200 sehari apabila terpaksa menutup kedai pakaiannya di kompleks itu.
“Sebelum Covid-19 melanda negara ini, hasil jualan mencecah RM650 sehari tetapi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, pendapatan saya merosot sehingga RM200 sehari.
“Saya hilang pendapatan apabila Kompleks Pekan Rabu ditutup sejak 11 September lalu. Kami akur dengan keputusan kerajaan tetapi harap ada bantuan untuk meringankan beban,” katanya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd. Sufi Mohd. Ajaib, 41, yang berniaga minuman di kompleks berkenaan memberitahu, dia terpaksa menutup kedainya kerana tiada pengunjung sejak Temco dikuatkuasakan.
Katanya, peniaga-peniaga di situ juga menutup kedai masing-masing dan mereka tiada pendapatan lain.
“Saya harap kerajaan tengok-tengoklah nasib kami. Dahulu ada juga bantuan, bolehlah sara hidup tetapi sekarang kosong,” katanya.
Masni Baharundin, 44, pula berkata, dia berhasrat menjual produk pakaiannya secara dalam talian bagi menampung sara hidup yang terjejas kerana Temco itu.
“Bagaimanapun, saya sekarang tidak boleh buat apa-apa kerana tak boleh masuk kedai ambil barang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










