MELAKA: Papan selaju sentiasa berada di sisinya setiap kali mahu ke mana-mana. Peralatan sukan ekstrem itu adalah ‘kenderaan’ utamanya walaupun mampu memandu kereta yang diubah suai.
Fathurrahman Aiman Othman, pemuda berusia 22 tahun ini bukanlah insan normal kerana dia menghidap penyakit spinal bi da sejak kecil yang menyebabkan jurang di tulang belakang sehingga mengganggu perkembangan saraf tunjang.
Namun, kecacatan tersebut langsung tidak membunuh semangat anak bongsu daripada lima beradik itu untuk lebih berjaya daripada individu normal lain.
Pemegang Diploma Seni Reka Grafik di sebuah kolej swasta itu berkata, dia berpegang kata-kata arwah ibunya, Sabariah Ahmad yang memintanya jangan menganggap diri sebagai orang kurang upaya (OKU).
“Arwah mak pesan kecacatan bukan penghalang hendak buat sesuatu dan buktikan saya juga boleh berjaya seperti orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mesra disapa Aiman, penuntut tahun akhir Ijazah Pentadbiran Perniagaan itu berkata, dia mula menggunakan papan selaju sejak berusia lima tahun, namun hanya untuk bergerak di sekitar kawasan rumah.
“Jika mahu keluar saya menggunakan kerusi roda termasuk ke sekolah sehinggalah memasuki tahun lima, saya mula berani naik papan selaju di luar.
“Pada awalnya, saya sebenarnya takut tetapi melihat ada rakan senasib saya di Kuala Lumpur bebas dan selesa naik papan selaju, perkara itu memberi inspirasi kepada saya,” katanya yang berasal dari Tanjung Kling di sini.
Mula mendapat lesen memandu kereta sejak empat tahun lalu, ujarnya, keyakinan itu juga hasil dari artikel yang dibacanya mengenai drifter OKU yang mahir melakukan aksi ekstrem.
“Saya terfikir jika dia boleh, takkan saya tak mampu memandu kereta. Jadi, saya menempah peralatan khas untuk belajar memandu selama tiga bulan di kawasan rumah sebelum mendaftar diri mengambil lesen sah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










