fbpx

21 Januari 2021, 3:04 am

  TERKINI

MCPF cadang wujudkan jawatankuasa jenayah siber

LEE LAM THYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan satu jawatankuasa jenayah siber yang lebih holistik diwujudkan bagi menangani masalah jenayah siber di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana menurut data Kementerian Komunikasi dan Multimedia, aduan mengenai jenayah siber meningkat sebanyak 91.37 peratus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu bermula Mac hingga Jun lalu.

Katanya, peratusan yang direkodkan itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak 80 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Tambahnya, laporan polis menunjukkan pada 2018 terdapat 10,754 kes jenayah siber; 2019 (11, 875 kes) dan daripada Januari hingga Julai tahun ini pula sebanyak 9,146 kes.

“Kerugian yang dicatatkan pada 2019 ialah RM305 juta manakala sehingga Jun 2020 sebanyak RM247 juta, maka kes sebegini memerlukan satu jawatankuasa khas untuk menanganinya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi pendengaran MCPF Pulau Pinang di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd. Manan.

Menurut Lam Thye, antara agensi yang dicadangkan untuk menganggotai jawatankuasa itu adalah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat telekomunikasi, CyberSecurity Malaysia (CSM) dan MCPF.

Tambahnya, jawatankuasa itu boleh memantau dan berbincang untuk mencari langkah yang lebih berkesan untuk membanteras jenayah siber.

“Buat masa ini kita sedang merangka kertas kerja mengenainya dan dijangka siap dalam tempoh terdekat sebelum diserahkan kepada kementerian dan agensi bersesuaian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lam Thye berkata, MCPF menyokong usaha kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak yang mengingkari arahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), terutama membabitkan aktiviti pusat hiburan kelab malam.

“Kita tidak ada pilihan lain kecuali memastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 dipatuhi bagi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya. – UTUSAN

POPULAR