Masjid lama Kampung Belimbing Dalam tertua di Malaysia? - Utusan Malaysia

Masjid lama Kampung Belimbing Dalam tertua di Malaysia?

KEADAAN masjid lama di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini yang mungkin menjadi tertua di Malaysia selepas wujud beberapa bukti kemungkinan dibina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15. UTUSAN/ RIZANIZAM ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Sebuah masjid lama yang sudah runtuh dan terbiar usang di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini mungkin menjadi tertua di Malaysia selepas wujud beberapa bukti kemungkinan ia dibina pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 atau tahun 1500.

Itu kesimpulan awal dibuat dua pakar sejarah tamadun Islam dan arkeologi, Pemangku Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli dan Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Alam Melayu dan Islam, Hasanuddin Yusof.

Sekiranya penemuan beberapa bukti awal itu dapat disahkan dengan fakta, menurut mereka masjid lama yang sudah runtuh dan terbiar di belakang Masjid Imam Muslim, Kampung Belimbing Dalam itu boleh diiktiraf sebagai masjid tertua di Malaysia.

Setakat ini, Masjid Kampung Laut yang terletak di Kampung Nilam Puri, Kelantan diiktiraf sebagai masjid tertua di Malaysia yang dibina pada abad ke-18.

Menurut Dr. Zuliskandar, terdapat beberapa bukti penemuan awal yang memungkinkan masjid lama di Kampung Belimbing Dalam itu dibina pada abad ke-15 atau 16 Masihi.

“Kebanyakan bahan binaan yang masih ada di masjid ini saya boleh pastikan paling lewat pun ia sudah wujud pada akhir abad ke-17 (tahun 1601 hingga 1700). 

“Tapi petunjuk awal mengaitkan ia mungkin dibina lebih awal pada abad Ke-15 atau 16 itu ada, sebab dari segi asas binaan itu ia menggunakan blok batu laterit yang besar yang mana kita tahu penggunaannya berlaku sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan pada tapak masjid lama itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau sebagai ahli akademik, dapatan atau petunjuk awal itu perlu dibuktikan dengan kajian dan data imperikal untuk menyokong andaian berkenaan.

“Untuk itu, kita perlu buat kajian arkeologi yang mana bahan-bahan kayu masjid ini perlu di hantar ke Amerika Syarikat untuk dibuat kajian pentarikhan kronometrik.

“Pihak berkuasa juga perlu membuat kajian dilapidasi ataupun konservasi supaya masjid ini dapat dipulihara 

kerana ianya amat signifikan terhadap perkembangan Islam di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Hasanuddin yang berpengalaman luas mengenai sejarah ratusan masjid di alam Melayu dari selatan Thailand hingga ke Indonesia berkata, terdapat banyak persamaan binaan masjid lama berkenaan dengan beberapa masjid di Jawa, Indonesia yang dibina pada abad ke-15.

“Antara ciri-ciri yang ada pada masjid binaan abad ke-15 adalah penggunaan bata yang nipis, batu laterit yang digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan penggunaan kaedah tanggam pada kayu dan bingkai kerana tidak menggunakan paku.

“Berdasarkan bukti itu, masjid ini selewat-lewatnya dibina pada tahun 1700 malah ada kemungkinan lebih awal jika Portugis tidak menguasai tempat ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya