KUALA LUMPUR : Peristiwa rampasan senjata di Kem Batalion 304 Rejimen Askar Wataniah (AW) di Gerik, Perak oleh kumpulan Al-Maunah kira-kira 20 tahun lalu masih segar dalam ingatan dua individu penting yang terlibat dalam operasi menawan mereka.
Walaupun semua ahli kumpulan terlibat kini telah menjalani hukuman, peristiwa berkenaan perlu dijadikan iktibar pada masa hadapan kepada generasi muda
Bagi bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Mohd. Zaini Mohd Said, beliau berharap masyarakat dapat menerima kembali bekas ahli Al-Maunah yang telah menjalani hukuman sebelum ini dengan hati terbuka.
Ketika diminta mengimbau kembali insiden terbabit, Mohd. Zaini dapat mengingati dengan jelas peristiwa yang pernah menggemparkan negara pada masa itu.
“Selepas beberapa hari kumpulan itu di Bukit Jenalik Perak, Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai sudah buat keputusan untuk menawan mereka dan saya turut difahamkan mereka mahu menyerah diri.
“Namun, apabila sampai ke tempat kumpulan tersebut, Mohamed Amin (ketua) mahu berunding pula, tetapi saya tidak mahu. Selepas itu dia marah dan terjadilah pergelutan sehingga mereka semuanya akhirnya ditawan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kini selepas hampir 20 tahun, 13 anggota kumpulan terbabit yang menjalani hukuman di beberapa penjara menerima pembebasan awal.
Berdasarkan kenyataan Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan pembebasan awal kepada mereka sempena Hari Kebangsaan Ke-63.

UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Dalam pada itu, Komander Vat 69, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abdul Razak Mohd Yusof berkata, ketika itu beliau telah ditugaskan melakukan penyusupan ke kawasan musuh yang bersembunyi di Bukit Jenalik.
Ketika menyusup, beliau secara tiba-tiba terserempak Timbalan Ketua Al-Maunah, Zahid Muslim yang sedang mengambil wuduk.
“Saya sedang mengacukan senjata ke arah Zahid sambil berdoa supaya dia tidak melakukan apa-apa kerana tidak mahu mencederakannya.
“Tiba-tiba Zahid pandang saya dan terus memberi salam sambil berkata jangan tembak kerana dia adalah pejuang mujahedeen. Zahid kemudian bawa saya jumpa Amin untuk berunding dan memujuknya menyerah diri,” jelasnya.

Abdul Razak dan Mohd. Zaini dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) selepas operasi berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Razak meminta masyarakat tidak melemparkan sebarang tohmahan kepada bekas banduan yang dibebaskan.
“Mereka tersilap membuat pilihan di sebalik usaha mencari jalan kebenaran dan diredhai Allah SWT. Beri peluang mereka untuk membina hidup baharu.
“Tambahan pula peristiwa tersebut telah berlaku kira-kira 20 tahun lepas. Tidak ada apa-apa yang perlu diungkit lagi,” ujarnya. – UTUSAN










