Gempur sebelum terlambat - Utusan Malaysia

Gempur sebelum terlambat

SEORANG penduduk yang bimbang Kuala Perlis menjadi seperti Bukit Malut, Langkawi, Kedah menunjukkan salah sebuah penempatan warga asing Rohingya ketika ditemui di Kuala Perlis, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu penempatan haram Bukit Malut, Langkawi Kedah berlarutan sejak sekian lama dan sehingga kini belum ada jalan penyelesaian.

Malah penempatan di atas tanah rizab hutan paya bakau di kawasan itu dikatakan makin membesar dengan lebih banyak rumah dibina oleh pendatang asing tanpa izin (PATI).

Difahamkan, kira-kira 10,000 warga Myanmar menduduki kawasan Bukit Malut membabitkan 2,500 rumah di penempatan yang terletak kurang 20 kilometer dari pekan Kuah.

Kini, kebimbangan sama mula dirasai penduduk Kuala Perlis yang khuatir kawasan tersebut bakal menjadi seperti Bukit Malut berikutan lambakan warga asing yang menjadikan beberapa perkampungan nelayan di sini sebagai penempatan khususnya sejak dua tahun kebelakangan ini.

Difahamkan, terdapat lebih 1,000 penduduk warga Rohingya dan ramai lagi warga asing menjadikan Kuala Perlis sebagai penempatan yang mengundang kerisauan penduduk setempat mengenai risiko jenayah dan masalah sosial lain.

Warga asing tersebut dikatakan datang dari Bukit Malut kononnya untuk menangkap ikan dan bermula dengan tinggal di pelantar-pelantar nelayan, sebelum membina kediaman sendiri di pesisir sungai di kawasan perkampungan.

Isu tersebut sebenarnya bukan perkara baharu, malah pernah dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Nor Azam Karap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Sebelum itu, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim juga pernah mengetengahkan perkara sama.

Namun, tidak ada sebarang tindakan diambil sehinggalah polis Perlis sendiri mendedahkan mengenai perkara tersebut baru-baru ini.

Sebelum Kuala Perlis menjadi terkenal dengan imej penempatan PATI seperti Bukit Malut, tindakan perlu dilaksanakan dengan segera membersihkan penempatan haram tersebut.

Gempur segera penempatan haram tersebut.

Jangan biarkan situasi tersebut membarah yang akhirnya sukar dikawal.

Biarlah Kuala Perlis kekal sebagai salah satu tempat pelancongan yang terkenal khususnya keistimewaan makanan lautnya, bukan menjadi tumpuan sebagai lokasi transit PATI.

Kita tidak mahu Kuala Perlis menjadi seperti Bukit Malut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN