KUALA LUMPUR: Wang tunai disyaki disimpan di sebuah kondominium di Bangkok, Thailand hasil ‘dirompak’ daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipercayai mencecah jutaan ringgit.
Menurut sumber, risikan dan maklumat Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati perbuatan ‘menyembunyikan’ wang tersebut dilakukan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee selepas dia serta beberapa individu lain diburu pihak berkuasa.
“Kita percaya jutaan ringgit disimpan dalam kondominium itu. Bagaimanapun, nilai sebenar wang tersebut tidak dapat dipastikan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, Casey didakwa membuat transaksi pembelian sebuah peti besi selepas wang tunai yang ‘dirompak’ didakwa disembunyikan di Thailand.
Seorang lagi buruan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif SRC Sdn. Bhd., Nik Faisal Ariff Kamil pula dikesan bersembunyi di Hong Kong iaitu lokasi persembunyian ahli perniagaan Low Taek Jho.
Risikan PDRM mendapati nama anak Nik Faisal didaftarkan di sebuah sekolah swasta antarabangsa Perancis di Hong Kong.
Turut disyaki berada di Hong Kong ialah peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.
Pada 29 Julai lalu, akhbar ini mendedahkan lokasi Jho Low menyembunyikan diri terjawab apabila dia dikesan berada di Macau.
Jho Low dan ahli keluarganya juga dikesan bebas bergerak di Hong Kong. – UTUSAN ONLINE










