Contohi negara lain bina laluan khas basikal - Utusan Malaysia

Contohi negara lain bina laluan khas basikal

AZIZULHASNI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu mencontohi Thailand dengan membina litar khas basikal  untuk peminat sukan tersebut sebagai langkah mengurangkan risiko kemalangan di negara ini.

Pelumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang berkata, litar yang digelar  ‘Skylane Bangkok’ itu mempunyai jarak sepanjang 23.5 kilometer (km) bagi setiap satu pusingan mampu memberi keselesaan dan ruang kepada  peminat sukan berbasikal.

Selain itu katanya, Malaysia perlu mencontohi Korea Selatan yang mempunyai litar khas sepanjang 1,000 km dengan menghubungkan antara satu negeri ke negeri lain.

“ Sekarang kita mahu galakkan rakyat Malaysia berbasikal sebab boleh melahirkan individu yang sihat walafiat. Kalau di tangani dengan betul mungkin boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Tambahan pula penggunaan basikal dapat mengurangkan pencemaran bunyi dan alam sekitar selain mempunyai pelbagai manfaat lain termasuk ekonomi,” katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook miliknya kelmarin.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia  (Miros) sebelum ini mencadangkan supaya basikal didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran.

Namun, cadangan tersebut menerima kritikan pelbagai pihak.

Dalam pada itu, Mohd.Azizulhasni berkata, pihak berkuatkuasa perlu duduk berbincang dengan pelbagai pihak  untuk mewujudkan polisi atau peraturan baharu bagi peminat berbasikal termasuk peraturan-peraturan lain.

“Jika kita pilih untuk mewajibkan lesen dan nombor plat sebagai jalan terakhir , ini bermaksud penunggang basikal juga akan mempunyai hak yang sama di atas jalan raya. Maka perlu di bina infrastruktur khas kepada penunggang basikal ini seperti laluan khas basikal serta tempat meletak basikal di kebanyakan tempat. 

“Ini kita boleh lihat di beberapa negara Eropah. Seperti Belanda, basikal merupakan antara pengangkutan harian untuk ke tempat kerja,  ada laluan khas dan tempat letak basikal khas di merata-rata. Di Melbourne,Australia pula mempunyai laluan khas,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.