fbpx

8 Mei 2021, 10:15 am

  TERKINI

Ahmad Faizal nafi PCB akan muflis, gulung tikar

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kerajaan negeri Perak menafikan dakwaan Perak Corporation Bhd (PCB) yang disenaraikan di Bursa Malaysia berdepan kemuflisan dan mungkin gulung tikar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri ada perancangan untuk menyelesaikan masalah anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu dan sehingga kini sudah melakukan beberapa perubahan termasuk membawa beberapa nama besar dalam dunia korporat ke dalam lembaga pengarah syarikat itu.

“Untuk pengetahuan umum, PCB sekarang berada dalam status PN17 (syarikat bermasalah kewangan dan tidak mematuhi syarat modal minimum Pasaran Utama Bursa Malaysia).

“Alhamdulillah, kita ada ramai rakan-rakan yang yakin dengan kepemimpinan negeri dan sudah buat perancangan untuk keluarkan PCB daripada status PN17,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) ke-23 (PB23) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pulau Pangkor dekat sini hari ini. 

Terdahulu dalam sidang media di Ipoh, semalam, Ketua Penyelaras Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra)  yang juga Naib Presiden parti itu, Datuk Hamidah Osman mendakwa PCB  berdepan masalah kewangan yang serius dan mungkin akan gulung tikar.

Hamidah mendakwa, dalam status laporan kewangan tahunan PCB terkini yang berakhir 31 Disember 2019, nilai aset yang dimiliki syarikat adalah sebanyak RM742 juta manakala jumlah libiliti adalah sebanyak RM751 juta.

Menurut Hamidah, apabila PCB diisytiharkan bankrap, ia akan menjejaskan pelbagai aset milik kerajaan negeri seperti Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS) dan  Hotel Casuarina di Meru manakala Pelabuhan Lumut (Lumut Port) berdepan risiko dilelong bagi membolehkan PCB membayar segala hutang piutang mereka.

Ahmad Faizal berkata, apa yang dikatakan oleh Hamidah itu tidak tepat kerana kerajaan negeri tidak pernah berhasrat menjual mana-mana asetnya yang berpotensi tinggi.

“Apabila ahli lembaga pengarah PCB yang baru berjumpa saya, saya beritahu mereka untuk ‘turnaround’ PCB tanpa jual mana-mana aset walau sebatang pensel sekali pun kita tidak akan jual.

“Kita harus gunakan kreativiti dan usaha kuat untuk pastikan PCB jadi syarikat yang menguntungkan, kita tidak akan jual Lumut Port malah kita kalau boleh nak menguasai (ekuiti) Lumut Port seratus peratus,” katanya. – UTUSAN