KUALA LUMPUR: Statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) merekodkan sebanyak 653 kes kemalangan melibatkan basikal di jalan-jalan raya seluruh negara dalam tempoh 2018 sehingga Ogos lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 399 individu dilaporkan maut manakala 119 mengalami kecederaan parah diikuti 135 cedera ringan dalam tempoh sama.
Berdasarkan statistik itu sekali gus menunjukkan larangan yang dikeluarkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias kelmarin mengenai aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah tepat.
Larangan yang dikeluarkan itu bertujuan mengelakkan penunggang terdedah kepada risiko yang membahayakan keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Dalam pada itu, Azisman menegaskan mana-mana individu yang gagal mematuhi papan tanda lalu lintas yang melarang berbasikal di lebuh raya adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Apabila disabitkan, boleh didenda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambah Azisman, aktiviti berbasikal hanya dilarang di lebuh raya, namun masih dibenarkan di jalan Persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan.
“Penunggang basikal termasuk untuk tujuan riadah perlu menggunakan laluan yang lebih sesuai dengan keperluan mereka.
“Mereka yang ingin menjalankan aktiviti berkenaan juga perlu sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain,” jelasnya.
Khamis lalu, Utusan Malaysia melaporkan, dalam tempoh tiga tahun sejak 2017 sehingga Ogos lalu, sebanyak 46 kes dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kemalangan melibatkan basikal di 15 lebuh raya di seluruh negara.
Mengikut statistik JSPT, sepanjang tempoh itu juga, kemalangan paling teruk membabitkan basikal adalah pada 2017 apabila sebanyak empat kematian dicatatkan.
Dalam pada itu, laporan Utusan Malaysia 16 September lalu mendedahkan cadangan MIROS untuk mengkaji keperluan setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor.