40 mangsa banjir di Rantau dipindahkan - Utusan Malaysia

40 mangsa banjir di Rantau dipindahkan

FAZLISYAH Muslim menyampaikan pek makanan kepada mangsa banjir kilat dari Kampung Sega Hilir dan Kampung Stesen di Rantau yang ditempatkan pusat pemindahan sementara di SK Kampung Sega, Rantau dekat sini hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seramai 40 mangsa membabitkan 12 keluarga di dua buah kampung di Rantau dekat sini dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat lewat malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan, Fazlisyah Muslim berkata, dua kampung yang terlibat ialah Kampung Sega Hilir dan Kampung Stesen dan kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sega, Rantau. 

“Sehingga kini, 40 mangsa yang melibatkan 12 keluarga telah ditempatkan di pusat pemindahan sementara manakala terdapat enam buah keluarga yang terdiri daripada 20 orang penduduk telah berpindah ke rumah keluarga terdekat. 

“Kejadian banjir berlaku sekitar pukul 8 malam namun pihak kami hanya boleh memindahkan penduduk pada pukul 1 pagi kerana ada kawasan yang telah dinaiki air,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Fazlisyah berkata, banjir yang berlaku tersebut adalah di kawasan rendah ekoran hujan lebat daripada pukul 5.30 petang hingga 10 malam semalam. 

“Bagaimanapun, kesemua mangsa selamat dan keadaan ketika ini adalah terkawal dan air di kediaman mangsa masih dalam keadaan statik,” katanya lagi. 

Beliau turut memaklumkan, sehingga pukul 4 petang ini, mangsa banjir masih belum dibenarkan pulang memandangkan hujan yang dikhuatiri lebat dijangka sehingga lewat petang ini. 

“Pihak kami tidak membenarkan mangsa di pusat pemindahan sementara pulang walaupun banjir telah reda. Kami risau sekiranya paras air akan naik semula berikutan hujan dijangka lebat pada petang ini,” katanya.

Sementara itu, Fazlisyah menambah, pihaknya telah mengesan 100 kawasan panas yang sering berlaku banjir di sekitar Negeri Sembilan. 

“Sehubungan itu, seramai 500 anggota APM sudah bersiap sedia termasuk daripada segi persiapan logistik bagi menghadapi musim banjir ketika ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya