177 pelajar sekolah menengah di Johor positif dadah - Utusan Malaysia

177 pelajar sekolah menengah di Johor positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 177 pelajar sekolah menengah di negeri ini dikesan positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak awal tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang berkata, jumlah itu diperoleh daripada keseluruhan 10,132 pelajar yang diperiksa.

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan 280 sekolah menengah di seluruh Johor susulan statistik penagihan dadah terbesar melibatkan usia antara 16 tahun hingga 25 tahun.

“Penagihan dadah dalam kalangan pelajar biasanya ada simptom yang boleh kita kesan. Walaupun angkanya tidak terlalu membimbangkan, namun kita juga perlu peka dan prihatin.

“Sebagai warga pendidik, kalau boleh kita mahu sifar kes (penagihan dadah dalam kalangan pelajar sekolah). Itu harapan kita,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas Program Transformasi Minda: Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Bagi Menangani Masalah Penyalahgunaan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah AADK Johor, Azli Ubin dan Timbalan Pengarah (Pembangunan Murid) Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Omar Salleh.

Mazlan turut memberitahu, ujian saringan air kencing yang dilakukan itu bukan bertujuan menghukum namun bagi mengekang gejala itu daripada berterusan.

Sementara itu, dalam ucapannya, Mazlan memberitahu, jenis dadah yang disalahgunakan berbeza saban tahun.

“Namun, terdapat peningkatan permintaan terhadap dadah sintetik seperti Methamphetamine. Sehubungan itu semua pihak perlu bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan gejala penagihan dadah dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya