17 peratus penagih dirawat secara sukarela - Utusan Malaysia

17 peratus penagih dirawat secara sukarela

ZULKIFLI Abdullah memeriksa perbarisan kehormat pada Hari Terbuka AADK dan perasmian Pusat Rawatan Pemulihan Narkotik (PUSPEN) Seri Iskandar di sini hari ini. -UTUSAN/ SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Hanya 17 peratus atau 872 daripada keseluruhan 4,938 penagih yang menerima rawatan pemulihan dadah adalah mereka yang datang mendapatkan rawatan pemulihan secara sukarela.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, jumlah itu masih rendah berbanding 11 Pusat Rawatan Pemulihan Narkotik (PUSPEN) secara sukarela di seluruh negara.

“Daripada kajian yang dijalankan di peringkat antarabangsa, ia jelas menunjukkan mereka yang mendapatkan rawatan secara sukarela, peratusannya adalah lebih tinggi untuk pulih dan kekal pulih.

“Kita berharap dengan pengenalan perkongsian dan sebagainya tentang perkhidmatan AADK  bagi rakyat Malaysia yang ada masalah ketagihan dadah supaya dapat datang sendiri ke PUSPEN untuk dapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka AADK dan PUSPEN Seri Iskandar di sini hari ini.

Hadir sama, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin.

PUSPEN Seri Iskandar adalah antara 11 daripada 31 PUSPEN kendalian AADK di seluruh negara yang berkonsepkan sukarela.

Zulkifli berkata, daripada 872 penagih yang mendapatkan rawatan secara sukarela sehingga Jun tahun ini, 64 peratus adalah mereka yang bekerja, 31 peratus penganggur manakala selebihnya iaitu lima peratus dari kalangan pelajar.

Katanya, AADK juga akan memperluaskan perkhidmatan yang ada kepada mereka yang mengalami ketagihan rokok dan alkohol dalam memastikan usaha mewujudkan masyarakat yang lebih sihat.

Katanya, melalui usaha itu bilangan pegawai AADK yang diberikan latihan akan ditambah bagi memastikan usaha menangani masalah ketagihan rokok dan alkohol juga dapat ditangani.

“Jadi kita nak terus membantu KKM (Kementerian Kesihatan) yang membuat promosi dalam hal ini, kita percaya dengan gandingan AADK dan KKM serta agensi lain, kita akan dapat membantu rakyat mengamalkan gaya hidup yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, semua PUSPEN kendalian AADK menggunakan kaedah rawatan pemulihan yang digabungkan membabitkan rawatan secara bio atau perubatan, psikososial dan spiritual.

Kata beliau, setiap pusat pemulihan, AADK menempatkan dua Pembantu Perubatan dan Pembantu Kesihatan, selain Pegawai Perubatan yang ditempatkan di ibu pejabat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya