Pembalakan sah, tiada pencemaran - Utusan Malaysia

Pembalakan sah, tiada pencemaran

SEBAHAGIAN penduduk membantah aktiviti pembalakan di Sungai Gapoi di Bentong, Pahang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Aktiviti pembalakan di tanah yang akan dibangunkan dengan tanaman kelapa sawit di Sungai Gapoi mendapat kelulusan Jabatan Perhutanan.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Pahang, meskipun pembalakan di kawasan seluas 674.9 hektar itu melibatkan aktiviti pembalakan secara tebang habis, namun ia tidak dibenarkan dilakukan di zon penampan alur air ke sungai berdekatan.

“Tinjauan pada 1 September lalu mendapati dakwaan aktiviti pembalakan menyebabkan pencemaran Sungai Telemong adalah kurang tepat kerana air sungai tersebut masih jernih.

“Tinjauan juga dibuat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gapoi yang mendapati air sungai masih jernih dan dalam, khususnya di bahagian muka sauknya. Malah temubual dengan pekerja Pengurusan Air Pahang Bhd. (Paip) di situ turut mengesahkan tiada kes penutupan operasi loji akibat pencemaran sungai,” kata kenyataan itu di sini semalam.

Menurut kenyataan itu, pe­lesen masih mematuhi syarat-syarat ditetapkan cuma sebahagian kecil kawasan sungai yang terdapat sisa pembalakan.

Dalam pada itu, kata kenyata­an itu, hasil semakan pihaknya mendapati tiada aduan atau bantahan terutamanya oleh masyarakat Orang Asli Kampung Gapoi yang merupakan penempatan paling hampir dengan kawasan pembalakan itu.

“Bagaimanapun pihak jaba­tan mengulangi ingatan kepada pelesen supaya mengambil tindakan penyelenggaraan lebih kerap terutamanya melibatkan jalan pengeluaran hutan dan zon penampan alur air demi mengurangkan impak alam sekitar kawasan terlibat.

“Pelesen juga diarah memperbanyakkan papan tanda berkaitan lesen pengusahasilan aktif di kawasan ini bagi mengelakkan persepsi negatif orang awam,” ujar kenyataan itu.

Baru-baru ini lebih 50 penduduk dari 17 penempatan di Karak menggesa campur tangan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail supaya menghentikan segera aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air Sungai Gapoi.

Penduduk khuatir aktiviti itu dilakukan secara haram selain akan menjejaskan sumber utama air ke LRA Sungai Gapoi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya