Rocky Din terlantar diserang strok - Utusan Malaysia

Rocky Din terlantar diserang strok

ROCKY DIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Penyanyi veteran era 1960-an yang popular dengan lagu ‘Marilah Mengundi’, Rocky Din atau nama sebenar, Mohd. Hashim Shariff kini terlantar akibat diserang strok sehari sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha Jumaat lalu.

Rakan seninya, Omara Hashim, 66, berkata, Rocky Din yang dimasukkan ke Hospital Kepala Batas pada pagi Khamis lalu telah dibenarkan pulang ke rumahnya di Teluk Air Tawar, Butterworth semalam.

Menurutnya, akibat serangan penyakit itu, anggota sebelah kanan penyanyi lagu ‘Aku Tetap Menanti’ itu tidak dapat bergerak dan terpaksa mendapatkan bantuan daripada ahli keluarganya.

“Saya pergi melawatnya di rumah kelmarin. Pergerakannya kini terbatas dan hanya terlantar serta perlu diangkat.

“Percakapannya juga kurang jelas dan boleh mengangguk faham apa yang kita cakap. Ramai rakan artis mula menghubungi saya bertanya tentangnya hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Omara memberitahu, ahli keluarga Rocky Din kini berusaha untuk mendapatkan rawatan susulan agar dia sembuh seperti sedia kala sekali gus dapat meneruskan kegiatan seninya.

Tambah Omara, mereka baru sahaja selesai merakamkan video lagu-lagu popular artis sekitar era 60-an nyanyian Rocky Din yang ditayangkan menerusi saluran Youtube dua minggu lalu.

Rocky Din popular dengan lagu ‘Marilah Mengundi’ sejak tahun 1978 dan masih lagi berkumandang sehingga ke hari ini apabila tibanya waktu Pilihan Raya Umum (PRU).

Bapa kepada lima cahaya mata itu pernah menghasilkan album termasuk untuk penyanyi terkenal era 70-an seperti Mariam Ahmad, Sharifah Aini, Hang Mokhtar dan Nurli Ismail.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN