fbpx

24 September 2020, 5:28 pm

  TERKINI

Malaysia sedia bantu Lebanon

LETUPAN gudang dekat pelabuhan di Beirut. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia sedia menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh Lebanon.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negara juga mengucapkan takziah kepada seluruh rakyat negara itu atas tragedi letupan di Pelabuhan Beirut malam tadi.

Katanya, kerajaan dan rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera dalam kejadian itu serta berdoa agar mereka tabah menghadapi dugaan ini.

“Malaysia bersedia menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan oleh Lebanon.

“Alhamdulillah, semua rakyat Malaysia di Beirut dilaporkan selamat,” katanya menerusi akaun Facebook beliau hari ini.

Letupan kuat menggegarkan ibu kota Beirut malam tadi mengorbankan sekurang-kurangnya 78 orang dan lebih 4,000 cedera.

Kejadian pada pukul 6 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) di gudang dekat pelabuhan itu menjejaskan beratus-ratus kediaman dan bangunan berhampiran, termasuk kediaman bekas Perdana Menteri, Saad Hariri.

BBC melaporkan, punca kejadian masih disiasat.

Antara yang terbunuh adalah Setiausaha Agung Parti Kataeb, Nazar Najarian.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan, gudang itu menyimpan ammonium nitrat.

Angka kematian dijangka meningkat.

Presiden Lebanon, Michel Aoun menegaskan adalah sesuatu yang ‘tidak boleh diterima’ apabila 2,750 tan ammonium nitrat disimpan di dalam gudang dalam keadaan tidak selamat.

Perdana Menteri, Hassan Diab menyifatkan kejadian itu sebagai ‘malapetaka’ dan sesiapa yang bertanggungjawab akan diambil tindakan tegas. – UTUSAN ONLINE