Kehilangan ibu jejas personaliti anak - Utusan Malaysia

Kehilangan ibu jejas personaliti anak

MOHD. SHAHRIL BONIRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu kegana­s­an rumah tangga sehingga menyebabkan kematian boleh menimbulkan persoalan besar dalam minda kanak-kanak tentang kenapa perkara itu berlaku kepadanya.

Keadaan itu juga mungkin mengambil masa lama untuk kembali pulih bergantung kepada tahap pemikiran seseorang anak hingga mencapai fasa kematangan untuk me­nerima keadaan tersebut.

Pegawai Psikologi Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd. Shahril Boniran berkata, seseorang remaja dalam lingku­ngan umur 12 hingga 20 tahun adalah fasa seseorang sedang membentuk personaliti sebelum beralih ke peringkat sete­rusnya dalam kehidupan.

“Seseorang anak yang berada di tengah-tengah pergelutan antara ibu dan ayah akan sentiasa mempersoalkan kenapa hal ini berlaku pada­nya, kenapa perkara ini tidak selesai, kenapa seorang ayah sanggup membunuh isterinya dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media mengenai tindakan seorang lelaki yang didakwa menjerut leher isteri­nya yang merupakan pensyarah universiti awam dengan menggunakan tudung hingga mati pada Rabu lalu akibat mahu memfailkan perceraian.

Mangsa yang mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan 15 tahun bersama suspek ditinggalkan di dalam kereta mereka berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil.

Mengulas lanjut, Mohd. Shahril tidak menafikan bahawa tahap perkembangan psikologi kanak-kanak tersebut akan terganggu kerana sudah kehilangan model yang boleh diikuti.

“Model ini penting untuk membentuk watak dalam diri seseorang tetapi dalam kes ini, dia sudah kehilangan ibu jadi dia akan berdepan de­ngan masyarakat dan kawan-kawan yang mungkin akan mencemuh atau menyindirnya. Kalau ada dalam kalangan mereka yang membantu maka ia adalah baik.

“Boleh jadi dia akan membenci ayah dia dan semua golongan lelaki sekiranya dia tidak boleh memaafkan tindakan ayahnya sampai bila-bila,” katanya.

Senada dengan beliau, Pakar psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Fauziah Mohd. Saad yang berkata, isu keganasan rumah tangga salah satunya berpunca daripada pasangan yang berselindung di sebalik masalah yang dihadapi.

DR FAUZIAH MOHD SAAD

“Ada isteri yang tidak mahu berkongsi masalah atas alasan membuka aib suami, malu orang lain tahu rumah tangga bergolak sedangkan si isteri tahu hal ini akan menyebabkan pelbagai masalah seperti anak memberontak, kemurungan dan kebimbangan dan sebagainya.

Jelasnya, sekiranya kea­daan tersebut berterusan, ia akan menjadi kebiasaan untuk suami bertindak agresif terhadap isteri.

“Kadang-kadang pasangan tidak memahami hak masing-masing. Seseorang kenalah berlembut, berbincang, te­ngok perubahan tingkah laku suami dari awal bukannya cara provokasi seperti ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya