Kaunter tiket Terminal Penumpang Asa Niaga dibuka - Utusan Malaysia

Kaunter tiket Terminal Penumpang Asa Niaga dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Operasi kaunter jualan tiket di Terminal Penumpang dan Feri Antarabangsa Asa Niaga  Harbour City kembali dibuka hari ini selepas ditutup sejak 18 Mac lalu. 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Asa Niaga, Datuk Shaari Mat Jihin berkata, pembukaan kaunter tersebut adalah susulan kelulusan pihak kerajaan yang membenarkan terminal itu beroperasi semula.

Menurut Shaari, operasi feri yang akan bermula September hadapan melibatkan satu feri sahaja sehari dengan kapasiti 300 penumpang dengan tiket RM255 sehala.

“Secara dasarnya, kerajaan telah memberi kelulusan kepada terminal ini beroperasi semula dan membenarkan rakyat Indonesia pulang ke negara asal pada September hadapan.

“Oleh demikian, mana-mana rakyat Indonesia yang berhasrat untuk pulang dengan menaiki feri ke Tanjung  Balai, Asahan Indonesia boleh mula membeli tiket di kaunter bermula hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri, Pengarah Urusan Kumpulan Asa Niaga, Datuk Azhari Shaari. 

Mengulas lanjut, Shaari berkata, operasi feri terpaksa dihadkan iaitu hanya sebuah untuk sehari susulan pendemik Covid-19.

“Namun, terminal tetap akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP)  yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan wabak virus tersebut. 

“Kita akan melaksanakan SOP yang telah ditetapkan merekodkan suhu badan dan penjarakan fizikal. Selain itu, rakyat Indonesia yang ingin pulang menaiki feri juga dikehendaki mempunyai sijil ujian Covid-19 daripada mana-mana klinik mahupun hospital. 

“Dengan adanya sijil ini ia akan mengesahkan sama ada mereka ini bebas dari virus tersebut atau tidak,” katanya. 

Jelas Shaari lagi, buat masa ini terminal itu hanya beroperasi untuk membawa pulang rakyat Indonesia di negara ini sahaja susulan pintu sempadan Malaysia dan Indonesia  masih belum dibuka untuk rakyat negara luar. 

“Kita buat perjalanan untuk sehala sahaja iaitu menghantar mereka balik susulan warga Indonesia dari sana masih tidak boleh memasuki negara kita buat masa ini. 

“Oleh demikian, kita berharap rakyat Indonesia yang ingin pulang boleh membeli tiket pada awal waktu supaya pihak terminal tahu berapa ramai yang akan pulang dan secara tidak langsung perjalanan mereka dapat diaturkan,” katanya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN