Dua ahli Geng Alai dicekup - Utusan Malaysia

Dua ahli Geng Alai dicekup

ADZLI Abu Shah (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat (kiri) menunjukkan gambar dua ahli Geng Alai yang masih diburu di IPD Kuala Muda, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis menahan dua daripada empat ahli Geng Alai yang disyaki aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah termasuk premis sarang burung di daerah Kuala Muda, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dua lelaki masing-masing berusia 26 tahun dan 27 tahun itu ditahan sepasukan polis yang membuat Rondaan Cegah Jenayah/Op Covid-19 di sekitar Sungai Petani kira-kira pukul 4 pagi, 12 Ogos lalu.

Kata beliau, anggota polis yang melakukan rondaan di Jalan Kampung Baru di sini ternampak sebuah kereta jenis Nissan Sunny berwarna putih dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kemudian mengarahkan pemandu supaya memberhentikan kereta untuk pemeriksaan tetapi suspek bertindak memecut sebelum terbabas ketika melalui Jalan Pinang Tunggal 2 berdekatan kawasan Perindustrian Ringan Taman Kempas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini hari ini.

Adzli berkata, hasil pemeriksaan menemukan dadah jenis syabu dan beberapa peralatan serta senjata termasuk parang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan itu dikesan terlibat dalam enam kes jenayah membabitkan pecah rumah, samun bersenjata dan curi kenderaan sejak tahun lalu.

“Kedua-dua suspek yang ditahan dipercayai turut terbabit dalam enam kes curi sarang burung di daerah Kuala Muda.

“Hasil semakan mendapati mereka adalah individu dikehendaki polis dan mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah selain positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, suspek turut mendedahkan dua lagi rakan jenayah mereka yang masih bebas dikenali sebagai Tang Aik Teong, 38, dan Teh Kim Hee, 46.

“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung dua suspek yang masih bebas itu untuk menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 28 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya