Bersatu tidak terjejas, Muhyiddin stabil - Utusan Malaysia

Bersatu tidak terjejas, Muhyiddin stabil

Perutusan Khas Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan PKPP jadi tumpuan orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan ke­pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin fenomena keluar parti yang melanda ketika ini tidak akan menggugat kestabilan parti serta kedudukan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bersatu mengambil pendekatan berlapang dada dan menghormati keputusan bekas ahlinya yang tidak lagi mahu bersama parti itu.

Meskipun begitu, Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya (MPT), Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff kesal dengan sikap sesetengah daripada mereka yang dilihat cuba mencari publisiti politik daripada isu itu.

Jelasnya, berdasarkan Perlembagaan Bersatu, pembubaran hanya boleh berlaku melalui keputusan yang dibuat MPT atau melalui mesyuarat agung tahunan (AGM).

“Kita mempunyai perlembagaan dalam Bersatu. Kalau seseorang ahli itu ingin dan mahu keluar secara sukarela itu adalah hak masing-masing dan mereka boleh keluar. Mereka datang secara baik maka mereka perlulah keluar secara baik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, majoriti ahli masih berdiri teguh dan yakin dengan ke­pemimpinan Muhyiddin sebagai Presiden.

Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perak menambah, rakyat semakin tertarik dengan gaya kepimpinannya dan ingin turut serta dalam perjuangan Perdana Menteri.

“Dengan ini saya ingin me­nyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Presiden parti untuk terus menerajui Bersatu dan meneruskan agenda parti di atas semangat bersatu, berama­nah dan bermaruah,” ujarnya.

Di Langkawi pula, kepe­mimpinan Bersatu bahagian menafikan parti itu lumpuh selepas sebahagian pemimpinnya meletak jawatan dan meninggalkan parti Ahad lepas.

Naib Ketuanya, Hashim Md. Noh berkata, pada masa ini, sayap Armada dan Srikandi serta beberapa cawangan masih setia menyokong kepemimpinan parti itu.

Malah katanya, sembilan ahli jawatankuasa bahagian itu masih berkhidmat seperti biasa.

“Perlembagaan parti Fasal 19 (19.9) memperuntukkan jawatan naib ketua bahagian akan memangku tugas setelah ketiadaan ketua bahagian atau timbalan ketua bahagian,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi tidak berminat untuk menyertai parti baharu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurutnya, sehingga kini beliau tidak menerima tawaran daripada mana-mana pihak yang mendesaknya untuk keluar Bersatu dan menyertai parti baharu Dr. Mahathir.

“Saya mendapat mandat dan kepercayaan daripada ahli-ahli sebagai Ketua Bahagian Bersatu Kulai dan ini tidak mungkin saya menyertai parti lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya