KOTA TINGGI: Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memberhentikan pemanduan sekiranya bertemu dengan gajah liar yang sedang melintas jalan sekitar kawasan ini.
Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, mereka diminta tidak mengambil risiko dengan meneruskan pemanduan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.
“Susulan video tular yang dirakam seorang pengguna jalan raya, kita dapati bahawa jelas mereka telah mengambil risiko untuk meneruskan perjalanan walaupun tahu gajah sedang melintas.
“Bahkan kita sering memberi nasihat sebelum ini agar pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan mereka jika melihat gajah melintas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Salman berkata, setakat ini pihak jabatan tidak menerima sebarang aduan berkaitan video tular itu.
Jelasnya, namun siasatan awal mendapati gajah yang dirakam adalah seekor gajah jantan dan siasatan lanjut akan dilakukan pihaknya.
“Saya menasihatkan agar pengguna jalan raya mematuhi peringatan yang dinyatakan di papan tanda yang dipasang sepanjang Jalan Kota Tinggi-Mersing. Jangan mengambil risiko sekiranya melihat haiwan liar ini,” katanya lagi.
Terdahulu, tular dalam media sosial video rakaman pengguna jalan raya yang terserempak dengan seekor gajah liar sedang melintas jalan dikatakan berlaku di Jalan Perani, Kota Tinggi. – UTUSAN