Bau asap selamatkan pelajar maahad tahfiz - Utusan Malaysia

Bau asap selamatkan pelajar maahad tahfiz

KEADAAN bangunan yang menempatkan asrama dan pejabat Maahad Tahfiz Al-Quran Wadin yang 40 peratus terbakar di Lepar, Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Bau asap yang menyebabkan seorang pelajar terjaga daripada tidur menyelamatkan 13 pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Wadin di Lepar di sini dalam kejadian kebakaran hari ini.

Pelajar itu mengejutkan semua rakannya yang kemudian bertindak menyelamatkan diri masing-masing dengan mengosongkan asrama penginapan mereka.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ismail Abdul Ghani berkata, kebakaran dipercayai berlaku kira-kira pukul 4 pagi.

Beliau berkata, sejurus selepas menerima panggilan berhubung kejadian itu, 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pekan dan Peramu bergegas ke lokasi kebakaran.

“Api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit dan kebakaran memusnahkan 40 peratus bangunan satu tingkat menempatkan asrama serta pejabat maahad tahfiz berkenaan,” katanya di sini.

Ismail berkata, maklumat awal mendapati kebakaran bermula di bahagian pejabat maahad itu.

“Punca kebakaran sedang disiasat dan semua 13 pelajar serta lima kakitangan berada di asrama maahad tahfiz dilaporkan selamat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya