Bapa tak mengaku salah cederakan anak - Utusan Malaysia

Bapa tak mengaku salah cederakan anak

MOHD. Faizal Ramly dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Kangsar atas pertuduhan mencederakan anak perempuannya dalam kejadian Ahad lalu. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap anak perempuannya yang berusia tujuh tahun Ahad lalu. 

Tertuduh, Mohd. Faizal Ramly, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan. 

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada anaknya di rumah mereka di Kampung Kroh Hilir, Padang Rengas dekat sini pada pukul 8.20 malam 2 Ogos lalu. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 326A kanun sama yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Noridah Dali manakala tertuduh diwakili peguam bela Nurul Syuhada Mohd. Yusof dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. 

Mahkamah kemudian menetapkan 7 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Terdahulu dalam mahkamah sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam dirinya di Pejabat Narkotik di sini pada pukul 11.20 malam 14 Januari lalu. 

Bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ini, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama setahun bermula hari ini dan dikenakan perintah pengawasan selama dua tahun.

Sebelum ini, polis menahan lelaki berkenaan selepas menghempas anak perempuannya yang berusia tujuh tahun ke lantai selepas kanak-kanak itu meminta air daripadanya dalam kejadian di Kampung Kroh Hilir, Padang Rengas dekat sini Ahad lalu.

Kejadian kira-kira pada pukul 8.20 malam itu menyebabkan kanak-kanak perempuan itu mengalami kecederaan luka pada dahi selain bengkak selepas kepalanya terkena bucu meja makan ketika dihempas bapanya itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya