KAJANG: Tanggungjawab ketua tingkatan bukan sekadar menyelaraskan hal ehwal pelajar dan guru sebaliknya melangkaui tugas di luar sekolah.
Ia terbukti apabila seorang ketua tingkatan sebuah sekolah jenis kebangsaan di sini membawa rakan sekelasnya yang menjadi mangsa dera bapa kandung membuat laporan polis.
Sumber berkata, ia bermula apabila ketua tingkatan, pelajar tingkatan empat dihubungi rakan sekelasnya yang sudah tiga hari tidak hadir ke sekolah untuk menceritakan masalahnya.
“Selepas pertemuan dengan mangsa, ketua tingkatan terkejut dengan kesan cedera seperti dirotan dan dicucuh api di kedua-dua belah paha mangsa.
“Mangsa kemudian dinasihat ketua tingkatannya membuat laporan polis,” kata sumber itu.
Jelas sumber, siasatan polis mendapati mangsa ditarik, dirotan, dicucuh dengan colok oleh bapanya pada 4 Julai kerana tidak pulang ke rumah kerana disyaki berjumpa dengan ibu kandunganya.
“Tindakan bapa mangsa menyebabkan remaja berkenaan tidak ke sekolah sebelum dia menghubungi ketua tingkatannya meminta bantuan,” katanya.
Katanya, polis menahan bapa mangsa, seorang pemandu Grab pada 17 Julai sebaik menerima laporan daripada anaknya.
Difahamkan, mangsa dan abangnya yang berusia 18 tahun dibesarkan oleh bapanya yang berkahwin lain selepas bercerai dengan ibu kandung mereka.
Semasa penceraian mangsa berusia lima tahun. Perkahwinan kedua bapa mangsa mempunyai dua anak. Mereka sekeluarga tinggal di rumah teres di Sungai Jelok. Turut mendiami rumah sama nenek dan datuk kepada mangsa.