Struktur tanah punca mendapan di tapak projek LRT3 - Utusan Malaysia

Struktur tanah punca mendapan di tapak projek LRT3

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN (tengah) meninjau lokasi mendapan tanah di persimpangan Jalan Johan Setia dan Jalan Langat, Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tanah gambut di kawasan menanam cerucuk projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) punca berlakunya mendapan tanah di persimpangan Jalan Johan Setia dan Jalan Langat di sini.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, lokasi itu kebanyakannya berstruktur tanah gambut dan hujan lebat berterusan selama beberapa hari menyebabkan struktur tanah lembut serta mendap

“Namun, kami menerusi rakan pelaksana projek iaitu MRCB George Kent mengambil tindakan segera dengan melaksanakan kerja pembaikan secara menyeluruh.

“Ia dijangka mengambil masa seminggu untuk disiapkan termasuk membaiki paip yang pecah, struktur jalan dan bekalan air kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi itu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Projek Prasarana, Mohd. Lokman Hamid dan Pengarah Projek MRCB George Kent, Hwang Chee Leong.

Tajuddin berkata, walaupun berlaku mendapan tanah, insiden itu tidak menjejaskan projek LRT3 di kawasan tersebut.

“Siasatan terperinci juga akan dijalankan dan kami sememangnya bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden ini,” katanya.

Sementara itu, Chee Leong berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati pergerakan tanah hanya berlaku di lokasi berkenaan dan tidak membabitkan kawasan lain.

“Kita sudah membuat kajian termasuk faktor tanah di kawasan itu sebelum ini dan mendapan hanya berlaku di bulatan radius di persimpangan tersebut,” katanya.

Semalam, mendapan tanah kira-kira 30 meter persegi berlaku di kawasan berkenaan susulan kerja-kerja menanam cerucuk pembinaan projek LRT3.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 petang berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Johan Setia mengakibatkan penutupan jalan sepenuhnya.

Susulan itu, kenderaan yang menggunakan jalan berkenaan kini dilencongkan ke arah Taman Bayu Emas, Kampung Johan Setia dan ke Lebuhraya Shah Alam atas faktor keselamatan.

Sementara itu, kerajaan negeri meminta pihak pelaksana projek menyerahkan laporan terperinci berhubung kejadian tersebut dalam tempoh dua hari.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, laporan itu perlu bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. 

“laporan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) Khamis ini,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN