JAKARTA: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan semalam menggesa kerajaan Indonesia supaya menghentikan sementara program makanan percuma sekolah yang menjadi agenda utama Presiden Prabowo Subianto, selepas lebih 500 murid jatuh sakit akibat keracunan makanan terbesar setakat ini.
Program bernilai AS$10 bilion (RM42 bilion) itu, yang dilancarkan Januari lalu, kini telah memberi manfaat kepada lebih 20 juta penerima dan disasar diperluas sehingga 83 juta wanita serta kanak-kanak menjelang hujung tahun namun, ia berdepan pelbagai masalah dari segi bekalan dan penyediaan makanan.
Menurut data, sebanyak 6,452 murid di seluruh negara terjejas akibat keracunan makanan daripada program berkenaan.
Ketua Network for Education Watch (JPPI), Ubaid Matraji menyifatkannya sebagai kegagalan sistemik dan mendesak kerajaan menghentikan sementara pelaksanaannya untuk membolehkan pengawasan lebih ketat dilaksanakan.
Gesaan itu disuarakan dalam mesyuarat jawatankuasa parlimen yang mengendalikan isu kesihatan, di mana enam NGO tampil memberi keterangan, termasuk Center for Indonesia’s Strategic Development Initiatives (CISDI) dan Gerakan Kesehatan Ibu dan Anak.
Penganalisis kanan CISDI, Iqbal Hafizon berkata pihaknya bimbang kerana kerajaan tidak mempunyai mekanisme khusus untuk menilai dapur yang terbabit kes keracunan mahupun mencegah insiden sama berulang.
NGO terbabit turut menggesa Agensi Pemakanan Nasional memberi perhatian kepada aspek pemakanan, kerana sebahagian besar menu masih menggunakan makanan ultra-proses yang dianggap tidak sihat.
“Pengedaran makanan ultra-proses menyelewengkan matlamat asal untuk menyediakan makanan berkhasiat, malah boleh mencetuskan penyakit tidak berjangkit,” kata Dr. Tan Shot Yen daripada Gerakan Kesehatan Ibu dan Anak.
Beliau juga turut mencadangkan agar dapur-dapur yang terbabit dalam kes keracunan digantung serta-merta daripada menyertai program berkenaan.
Timbalan Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Charles Honoris berkata cadangan NGO itu akan disalurkan kepada Agensi Pemakanan Nasional, namun menegaskan program tersebut adalah agenda strategik negara dan tetap akan diteruskan.
Tahun ini sahaja, bajet berjumlah 171 trilion rupiah (RM43 bilion) diperuntukkan dan dijangka digandakan pada tahun hadapan.
Dalam sidang akhbar berasingan, Ketua Agensi Pemakanan Nasional, Dadan Hindayana berkata pihaknya kesal dengan insiden keracunan makanan tersebut dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan.
Tambah Dadan, daripada sejuta hidangan yang telah diagihkan, terdapat 4,711 kes disyaki keracunan namun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai gesaan supaya program itu digantung sementara. -AGENSI










