Pandemik Covid-19 belum berakhir – PM - Utusan Malaysia

Pandemik Covid-19 belum berakhir – PM

Perutusan Khas Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan PKPP jadi tumpuan orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pandemik Covid-19 masih belum berakhir!
Begitulah peringatan tegas Perdana Menteri, Tan Sri Muh­yid­din Yassin kepada seluruh rakyat supaya meneruskan amalan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi stan-dard (SOP) yang ditetapkan.
Muhyiddin memberitahu, ke­banyakan negara luar masih mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.
Sehingga semalam, katanya, hampir 14.5 juta orang telah dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 600,000 kematian dicatatkan.
“Walaupun kes Covid-19 kekal rendah di negara kita, saya agak bimbang dengan kewujudan 13 kluster baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Contohnya Kluster Res­to­ran Kuala Lumpur dalam ka­langan pekerja restoran yang di­laporkan sejak 6 Julai 2020 dan Kluster Stutong yang bermula sejak 18 Julai 2020.
“Selain itu, sejak 7 Julai 2020, terdapat empat kluster baharu yang dikesan berpunca dari mereka yang pulang dari luar negara iaitu kluster di Sarawak (tiga), Melaka (lima), Terengganu (tiga) dan kluster di Kuala Lumpur sebanyak dua kes,” katanya dalam Perutusan Khas Perkembangan Terkini PKPP yang disiarkan secara langsung di beberapa saluran stesen te­levisyen tempatan, semalam.
Tambah Muhyiddin, lebih membimbangkan dirinya apabila kes positif Covid-19 telah kembali mencatatkan angka dua digit sejak beberapa hari yang lalu.
Situasi ini, kata beliau, tidak boleh diambil mudah oleh kita semua.
“Saya pasti saudara-saudari tidak mahu kerajaan kembali melaksanakan lockdown sekiranya kes-kes Covid-19 mening­kat dengan mendadak. Saya juga berdoa dan berharap agar kita tidak perlu sampai ke tahap itu.
“Cukuplah tiga bulan kita semua berkurung di rumah untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Ekonomi negara kita terjejas teruk, perniagaan mengalami kerugian dan ramai yang hilang pekerjaan. Sudah tentu kita tidak mahu kembali hidup dalam keadaan lockdown se-perti itu,” tegasnya.
Muhyiddin memberitahu, sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dan memerlukan kerajaan menguatkuasakan semula PKP, impaknya kepada ekonomi amat besar.
Penutupan semula sektor-sektor ekonomi boleh menyebabkan negara kehilangan sekurang-kurangnya RM2 billion sehari dan secara langsung menyebabkan kehilangan sumber pendapatan bagi jutaan pekerja di Malaysia.
Berikutan kes yang sema-kin meningkat, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menegaskan, kerajaan menimbang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam.
Kata beliau, perincian me­ngenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.
“Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat-mengingati antara satu sama lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN