Merindui kemeriahan 'mantai' - Utusan Malaysia

Merindui kemeriahan ‘mantai’

gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU : Kemeriahan ‘mantai’ serta aktiviti berjual beli daging lembu atau kerbau segar di tepi jalan buat masyarakat di Negeri Sembilan ini khususnya di daerah ini semakin dirindui.

Jika sebelum ini, dua hari sebelum perayaan Aidiladha, sudah bersusun peniaga daging di tepi jalan yang menawarkan daging segar terus kepada penduduk.

Namun, tahun ini suasananya berbeza, peniaga dan juga pembeli harus akur melakukan ‘mantai’ versi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurut seorang peniaga, Mohd. Sadam Razak, 29, sudah hampir 10 tahun dia mengikut bapa mentuanya berniaga daging segar dan kebiasaannya pada hari ‘mantai’ sambutannya sangat meriah.

“Memang dan jadi turun menurun di Rembau ini, orang dari Kuala Lumpur pun sanggup datang membeli daging segar di sini. Kalau orang Rembau, mereka suka beli daging kerbau, tapi kalau orang luar mereka akan beli daging lembu.

“Cumanya tahun ini sedikit berbeza apabila kebanyakan pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu bagi mengelak mereka bersesak-sesak membeli di gerai kami,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Rembau di sini semalam.

Berkongsi pengalaman tentang sambutan ‘mantai’ semasa Hari Raya Aidilfitri lalu, Mohd. Sadam memberitahu, daging tidak habis dijual jualan malah terpaksa dihadkan berikutan pelanggan perlu beratur serta mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Namun, kami sebagai peniaga tetap juga ingin memberikan khidmat terbaik terutamanya masa hari ‘mantai’.

“Walau sudah kurang meriah, persiapan kami tetap sama iaitu tiga hari sebelum perayaan, kami akan bermula seawal pukul 12 tengah malam sehinggalah habis jualan keesokan harinya.

“Kalau hari ‘mantai’, kami biasanya akan menyediakan tiga ekor kerbau dan juga empat ekor lembu bagi memenuhi permintaan pelanggan. Kalau hari biasa, kadang-kadang satu ekor pun susah nak habis,” katanya.

Bagi seorang pembeli pula, Hashim Puteh, 63, dia mengakui terdapat banyak perbezaan dalam aktiviti ‘mantai’ sebelum ini dan semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

 

“Lebih-lebih lagi dalam usia macam saya ni, golongan berisiko tak boleh nak duduk berkumpul. Mantai ni yang menariknya ialah kemeriahan berkumpul itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya