fbpx

30 November 2020, 4:35 am

  TERKINI

Lelaki dipenjara 26 bulan kerana hina Islam, Nabi Muhammad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipenjara 26 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad, agama Islam dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi laman sosial Facebook tahun lepas.

Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman penjara 26 bulan bagi pertuduhan pertama dan enam bulan penjara untuk pertuduhan kedua ke atas Danny Antoni, 29, serta memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 6 Mac 2019.

Dalam penghakimannya, Edwin berkata jenayah menghina agama seseorang dilakukan bukan sahaja terhadap individu yang disasarkan tetapi juga ke atas nilai dan fungsi yang diwakili agama tersebut.

“Persoalan dalam setiap kes ialah sama ada perkataan yang digunakan adalah dalam bentuk yang boleh menimbulkan kejahatan substantif, yang mana badan perundangan telah menggubal undang-undang untuk mencegahnya.

“Walaupun kebebasan bersuara membenarkan kebebasan mengkritik, hak ini tidak membenarkan individu untuk menghina. Undang-undang melindungi kebebasan beragama menerusi penggubalan atau pengukuhan kerangka kerja  nasional dan perundangan bagi mencegah cercaan terhadap agama dan melabel kumpulan-kumpulan agama dengan stereotaip negatif,” katanya.

Edwin menambah agama merupakan sesuatu yang peribadi serta mempunyai tempat yang istimewa bagi penganutnya, dan tidak dapat dinafikan dalam kes itu bahawa hantaran tidak sesuai, tidak bertanggungjawab serta bersifat provokatif  berdasarkan kaum dan agama yang dibuat tertuduh telah melanggar parameter kebebasan bersuara yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Apatah lagi hantaran itu boleh membakar sentimen terhadap agama Islam, katanya.

“Apabila dilihat secara objektif, seseorang itu dapat merumuskan kata-kata atau hantaran sedemikian bukanlah sebahagian daripada penjelasan mana-mana idea dan mempunyai nilai sosial yang sangat rendah. Apa juga manfaat daripada paparan itu tidak sebesar kepentingan, ketenteraman dan keamanan masyarakat. Kata-kata yang dikeluarkan itu menyebabkan kerosakan dan boleh menggugat keamanan,” katanya.

Danny dituduh menggunakan akaun Facebook atas nama Danny A’antonio Jr untuk memuat naik hantaran menghina Nabi Muhammad dan Islam yang boleh menggugat keharmonian di antara umat Islam dan bukan Islam pada 1.21 pagi, 9 Jan 2019 mengikut Seksyen 298A (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun.

Dia juga dituduh melakukan kesalahan sama terhadap Abdul Hadi di tempat, tarikh dan masa yang sama menurut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua hantaran tersebut dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ di sini pada 10 pagi 4 Mac 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julaila Jamaludin sementara tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA