Kementerian saring 1,026 individu kluster Sentosa - Utusan Malaysia

Kementerian saring 1,026 individu kluster Sentosa

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 1,026 orang telah disaring  di bawah kluster Sentosa dan 31 daripadanya didapati positif, 888 negatif manakala selebihnya iaitu 107 orang masih menunggu keputusan.

Sementara bagi kluster Mambong,  198 orang telah disaring iaitu 188 warga negara Malaysia dan 10 bukan warga negara. 

Daripada jumlah tersebut, tujuh dikesan positif Covid-19 di bawah kluster itu dengan dua kes bukan warga negara manakala 191 lagi negatif.

Jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, saringan tersebut merangkumi petugas kesihatan dan ahli keluarga mereka.

Selain itu, turut dilakukan saringan terhadap pekerja syarikat pembersihan, pengawal keselamatan, pesakit dan lain-lain kontak rapat.

“Kedua-dua kluster tersebut melibatkan kes sehingga generasi kedua. Punca jangkitan masih dalam siasatan, namun kita mengesyaki kemungkinan besar ia berpunca daripada aktiviti di dalam komuniti,” katanya dalam laporan harian perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.

Tambah Noor Hisham, langkah pencegahan penularan jangkitan yang telah diambil adalah kerja-kerja pembersihan di seluruh bangunan hospital.

Operasi pembersihan itu termasuk di kawasan berisiko tinggi mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.

Katanya, pesakit dan anggota kesihatan yang disahkan positif Covid-19 telah diasingkan dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat kes positif Covid-19 diteruskan terutamanya kontak rapat kepada anggota kesihatan dan pesakit yang dikesan positif,” katanya.

Tambah Noor Hisham, buat masa ini makmal sedia ada di Hospital Umum Sarawak mampu melaksanakan sekitar 1,000 ujian sehari.

“Kementerian  juga telah membuat tambahan kapasiti sebanyak 100 ujian di Pusat Jantung Sarawak dan 500 ujian di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Sementara itu, sebanyak 150 ujian boleh didapati di Borneo Medical Centre sekiranya diperlukan,” ujarnya.

Noor Hisham menambah, taklimat khas telah diberikan kepada anggota kesihatan bagi menekankan kepentingan pematuhan anggota terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) dengan betul serta bersesuaian.

Jelasnya, ia termasuk SOP penjarakan sosial sama ada di tempat bertugas atau tempat guna sama seperti pantri. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya