'Jangan curi please, sudah 3 kali tukar' - Utusan Malaysia

‘Jangan curi please, sudah 3 kali tukar’

KUANTAN: Menaikkan papan tanda tertera tulisan 'Jangan Curi, Please Sudah 3x Tukar' dan Curi Pokok Free, Naik Kereta Polis' antara langkah dilakukan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi memastikan tiada lagi kecurian pokok hiasan yang ditanam di persimpangan lampu isyarat Jalan Kuantan-Pekan, Batu 6, Kuantan, Pahang. - Foto: AJIE MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: ‘Jangan curi please, sudah tiga kali tukar’ dan ‘Curi pokok free, naik kereta polis’.
Kecurian pokok hiasan se­ring berlaku di sekitar bandar ini dan setahun kerugian dianggarkan mencecah RM50,000 mendorong Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) meletakkan tanda amaran tersebut.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Nor­kamawati Kamal berkata, lokasi paling kerap mengalami kecurian di Jalan Kuantan-Pintasan dan Jalan Gambang.
Menurut beliau, pokok hiasan yang kerap dicuri ialah bougainvillea atau bunga kertas yang ditanam bagi menghiasi taman-taman dan projek reka bentuk landskap.

“Kekerapan kecurian tidak konsisten tetapi anggarannya jika 1,000 pokok hiasan dita­nam, kira-kira 100 akan hilang.

“Pokok bunga itu akan hilang biasanya selepas tiga hingga empat bulan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Norkamawati berkata, harga pokok bunga antara RM20 dan RM30 sepokok menyebabkan ia menjadi sasaran pencuri.

Difahamkan, setiap tahun dianggarkan 3,000 hingga 5,000 pokok hiasan dicuri di daerah ini yang berkeluasan 2,065 kilo­meter persegi membabitkan lima mukim iaitu Kuala Kuantan, Ulu Kuantan, Hulu Lepar, Beserah dan Sungai Karang.

Mereka yang mencuri pokok hiasan boleh didakwa di bawah Undang-Undang Kecil 2(3) Undang-undang Kecil Vandalisme (MPK) 1994 iaitu denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau ke­dua-duanya sekali.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Fatmawati Latada berkata, isu kecurian pokok hiasan tersebut tidak membabitkan faktor psikologi tetapi lebih kepada soal etika.

“Sebagai contoh, terdapat sekumpulan masyarakat yang tiada wang atau kerja, mereka nampak peluang pokok hiasan di depan mata lalu mencuri dan menjualnya.

“Di sudut lain, ada pula peng­usaha kedai bunga atau nurseri sanggup beli pokok hiasan yang baik dengan harga murah daripada pencuri,” katanya dengan memberitahu kejadian tidak akan berakhir selagi ada tawaran dan permintaan daripada ke­dua-dua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya