Jambatan kereta api jadi perangkap maut - Utusan Malaysia

Jambatan kereta api jadi perangkap maut

RAKAMAN video dalam laman media sosial menunjukkan kanak-kanak berlari atas jambatan kereta api terbiar di Kampung Pinang Tunggal, Sungai Petani, Kedah. GAMBAR: MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Jamba­tan ke­reta api terbiar di Kampung Pinang Tunggal di sini menjadi tum­puan kanak-kanak bermain tanpa menyedari keadaan itu boleh mengundang bahaya.

Walaupun penduduk setempat telah melarang perbuatan kanak-kanak di jambatan sepanjang kira-kira 200 meter itu, namun mereka tetap berdegil.

Ghazali Saad, 68, berkata, dia bimbang melihat aksi kanak-kanak yang memanjat dan berlari di atas di jambatan besi itu.

“Aksi-aksi berbahaya kanak-kanak yang bermain di jambatan itu boleh mengundang kecelakaan, malah ia tidak ubah seperti pe­rangkap maut,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Beberapa hari lalu tular dalam media sosial video beberapa kanak-kanak bermain dan berlari di jambatan kereta api terbiar itu.

Video berdurasi sembilan saat itu dirakam oleh individu yang melihat aksi berbahaya dilakukan kanak-kanak berkenaan.

Jambatan yang merentasi Sungai Muda itu dibina pada tahun 1985 bagi menghubungkan Kampung Pinang Tunggal di sini dan Kampung Pinang, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, jambatan itu ditinggalkan terbiar selepas laluan baharu landasan kereta api dibuka kira-kira tujuh tahun lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kawasan jambatan tersebut tidak diletakkan papan tanda larangan menceroboh.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Rafiah Mat Delin, 51, berkata, walaupun belum berlaku kejadian yang tidak diingini di jambatan berkenaan, namun langkah-langkah pengawasan wajar dilakukan segera.

Justeru katanya, pihak berkuasa perlu merobohkan jambatan itu untuk keselamatan orang ramai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya