fbpx

Hanya dapat RM6 pecah cermin lima kereta di Presint 8

Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali
  • Oleh Azman Bin Ibrahim
  • 31 Julai 2020, 3:57 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pecah cermin lima kereta tetapi hanya dapat RM6.  Itulah ‘nasib malang’ suspek yang melakukan perbuatan itu ke atas kereta yang diletakkan di tepi jalan berhampiran Perumahan Penjawat Awam Presint 8, Ayer 8 di sini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada awal pagi semalam iaitu sebelum semua pemilik kenderaan terlibat hendak pergi ke tempat kerja. 

Beliau berkata, siasatan masih giat dijalankan dan pihaknya merancang untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik Perbadanan Putrajaya untuk mengesan identiti suspek.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan terus membuat pemantauan untuk memastikan keselamatan penduduk Putrajaya lebih terjamin.

“Suspek dipercayai golongan dewasa yang bergerak secara berkumpulan dan menggunakan modus operandi memecah cermin kereta di bahagian penumpang hadapan dan membuka dashboard untuk mengambil barang-barang berharga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ibadah korban di Presint 9 di sini hari ini.

Tambah Mohd. Fadzil, ini merupakan kes jenayah kedua direkodkan di Putrajaya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kes pertama berlaku seminggu lalu di Presint 14 yang turut membabitkan jenayah pecah cermin kereta.

“Kes pada minggu lalu, mangsa bagaimanapun didapati tidak membuat laporan polis,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan penduduk supaya memastikan kenderaan masing-masing diletakkan di tempat selamat selain memastikan sistem penggera keselamatan berfungsi dengan baik.

Selain itu, katanya, walau sekecil mana jenayah yang berlaku, beliau berharap penduduk dapat membuat laporan polis supaya senang untuk pihaknya membuat siasatan dan pemantauan. 

POPULAR