Dua suspek simbah cat ditangkap dalam Op Benteng - Utusan Malaysia

Dua suspek simbah cat ditangkap dalam Op Benteng

ANTARA barangan ditemui dalam kenderaan dinaiki suspek yang ditangkap dalam Op Benteng Covid-19 di susur keluar tol Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Negeri Sembilan.-Ihsan Polis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEREMBAN: Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes simbah cat rumah individu peminjam wang ‘ah long’ tanpa lesen di Port Dickson berjaya ditangkap polis dalam Op Benteng Covid-19 di susur keluar Tol Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd. Ghani berkata, kedua-dua suspek berusia 25 dan 30 tahun itu menaiki kereta jenis Honda City ditahan anggota yang bertugas dan hasil semakan mendapati nombor casis serta enjin tidak sama dengan nombor pendaftaran kereta berkenaan.

Menurutnya, semakan lanjut ke atas kenderaan berkenaan juga mendapati kenderaan berkenaan dikehendaki dalam satu kes pecah rumah di Kulai, Johor.

“Suspek kemudiannya di bawa ke Balai Polis Mambau untuk siasatan lanjut.   Susulan tangkapan berkenaan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil  Daerah (BSJKD) telah membuat pemeriksaan terhadap kereta yang dinaiki suspek.

“Hasil pemeriksaan telah menemui barang-barang yang disyaki digunakan untuk menyimbah cat di rumah peminjam wang.  Malah, terdapat rakaman simbah cat di rumah peminjam di dalam talefon bimbit suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Aibee berkata, kedua-dua suspek yang berasal dari Johor Baharu itu telah mengaku menyimbah cat di sebuah rumah di Taman Mutiara Si Rusa, Port Dickson dan juga membuat pengakuan turut menyimbah cat di beberapa kediaman di negeri lain.

Menurutnya, susulan tangkapan berkenaan, pihaknya telah merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenis, satu keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), empat botol mineral mengandungi cecair merah disyaki cat, tiga tong cat aluminium, satu corong plastik berwarna merah dan sebotol kaca yang disyaki berisi cecair thinner.

“Kedua-dua suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kulai, Johor bagi siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan akan diambil semula untuk siasatan kes simbah cat ini selepas selesai siasatan kes di Kulai, Johor,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya